Malaysia tak rancang boikot produk EU

Teresa Kok Suh Sim - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia tidak merancang mengambil sebarang tindak balas terhadap cadangan langkah melarang minyak sawit memasuki Eropah dengan memboikot produk buatan Eropah, kata Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim .

"Buat masa ini, kita tiada sebarang rancangan lagi untuk memboikot mana-mana produk dari mana-mana negara.

“Tetapi, kita akan berusaha untuk berbincang tentang isu larangan itu,” katanya kepada pemberita di luar acara Persidangan dan Pameran Minyak Sawit dan Laurik Tahunan Ke-30, Prospek Harga 2019/2020 (POC 2019) di sini, hari ini.

Teresa berkata Kementerian itu telah menghantar satu pasukan ke Brussels, Belgium, untuk menyatakan secara rasmi pendirian negara kepada Kesatuan Eropah.

"Saya berharap mereka boleh menimbang pendirian negara kita,” katanya.

POC 2019 yang berlangsung selama tiga hari itu yang bertemakan ‘Managed Uncertainties, Harvest Global Opportunities’ dianjurkan oleh Bursa Malaysia Derivatives (BMD) Bhd dan dihadiri oleh pakar industri terkemuka tempatan dan antarabangsa yang akan berkongsi analisis dan penilaian mereka mengenai pembangunan dan cabaran yang memberi kesan kepada prospek harga minyak sawit dan laurik pada 2019.

BMD mengendalikan penanda aras dunia bagi niaga hadapan minyak sawit mentah. - Bernama