Ketua Wanita UMNO Langkawi, enam rakan positif Covid-19

Hisham Suhaily Othman
Hisham Suhaily Othman
A
A
A

LANGKAWI - Ketua Wanita UMNO Langkawi, Hisham Suhaily Othman disahkan positif Covid-19 dan sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Maliha (HSM), sejak Selasa.

Selain Naib Ketua Wanita UMNO Kedah itu, turut disahkan positif ialah Ketua Puteri UMNO Langkawi, Ummi Kalsom Abdul Muthalib dan lima Ahli Jawatankuasa Wanita UMNO Langkawi yang kini menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Hisham Suhaily yang juga Exco Wanita UMNO Pusat memaklumkan, beliau dimasukkan ke HSM pada 11.30 pagi Selasa selepas mengalami gejala sakit tekak.

“Mulanya, saya buat ujian saliva menggunakan sampel air liur selepas menjadi kontak rapat kepada beberapa rakan yang disahkan positif Covid-19 selepas mereka pulang melancong dari Langkawi.

"Saya buat dua kali ujian saliva dan keputusannya negatif, namun saya disahkan positif selepas ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) di sebuah klinik swasta pada Jumaat,” katanya.

Sebelum itu, Hisham Suhaily dan pemimpin UMNO terbabit berjumpa beberapa rakan dari luar yang melancong ke Langkawi pada minggu lalu sebelum mereka disahkan positif Covid-19 selepas pulang dari pulau peranginan itu.

“Enam rakan saya sedang menjalani kuarantin rumah di Langkawi setelah disahkan positif Covid-19 selepas melakukan RT-PCR, walaupun sebelum itu mereka negatif ujian saliva.

"Pengalaman yang saya lalui ini menunjukkan ujian kendiri saliva tidak 100 peratus tepat bagi mengesan Covid-19 dan mengundang risiko kepada orang ramai. Eloklah dapatkan ujian saringan di klinik dan jangan bergantung kepada keputusan ujian kendiri sahaja,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, pihaknya memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan meminta individu yang menjadi kontak rapat sejak 18 September sehingga Sabtu lalu melakukan ujian saringan Covid-19.

Dalam pada itu, Hisham Suhaily menyarankan kepada kerajaan agar hanya mengiktiraf ujian saringan RT-PCR bagi membenarkan pelancong memasuki Pulau Langkawi untuk menjayakan program perintis gelembung pelancongan.

“Ia antara cadangan untuk tapisan lebih ketat bagi mengekang penularan pandemik yang boleh menggagalkan usaha merancakkan kembali sektor pelancongan,” katanya.

Menurutnya, ini kerana ujian saliva didapati kurang tepat dan berkesan untuk mengesan kes positif Covid-19 selain untuk mencegah wujudnya kluster pelancongan Langkawi.