X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 21 Mei 2022

Pencen ahli Parlimen boleh cecah RM100,000 sebulan: Syed Saddiq

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berbahas mengenai Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini.
- Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Bebas mendedahkan pencen seorang wakil rakyat boleh mencecah sehingga RM100,000 sebulan jika digabungkan dengan semua jawatan yang dipegang sepanjang perkhidmatan mereka.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) berkata, jumlah itu kemungkinan lebih tinggi jika tempoh perkhidmatan mereka sebagai ahli Parlimen lebih panjang.

"Pencen bagi wakil rakyat, menteri bukan satu. Ada pencen bagi ahli Parlimen, bagi Senator Dewan Negara, pencen Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Speaker, Timbalan Menteri, menteri dan Perdana Menteri tidak disatukan.

"Jika kamu ahli Parlimen yang berkhidmat sebagai Exco, ADUN, menteri bukan pencen berasingan, kalau digabungkan ia boleh menjangkau RM100,000 sebulan jika kamu berkhidmat dalam banyak kedudukan," katanya dalam sesi perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Rabu.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq turut mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi membincangkan perkara terbabit dan digabungkan bersama perbincangan mengenai isu Akta Pembiayaan Dana Politik.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau berkata, gaji seorang menteri adalah kira-kira RM55,000 sebulan.

Katanya, jumlah tersebut tidak termasuk beberapa insentif lain seperti sebuah rumah di Putrajaya, Permit Import (AP) untuk dua buah kenderaan, nombor pendaftaran kereta, sebidang tanah di Putrajaya dan elaun percutian boleh melebihi RM100,000 hingga RM200,000 kepada mereka yang sudah berkeluarga setiap tahun.

"Bukan itu sahaja apabila dihentikan dapat gratuiti persaraan sehingga RM1 juta hingga RM2 juta kerana pembayaran tidak dilakukan berdasarkan tempoh berkhidmat sebagai ahli Parlimen dan bukan sebagai menteri," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!