27,000 rakyat Kelantan isytihar tidak mahu vaksin

Sejumlah 94 peratus rakyat Kelantan sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 dos pertama setakat Rabu. - (Gambar kecil, Dr Izani Husin)
Sejumlah 94 peratus rakyat Kelantan sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 dos pertama setakat Rabu. - (Gambar kecil, Dr Izani Husin)
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Lebih 27,000 rakyat di negeri ini mengisytiharkan tidak mahu menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat Rabu.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, daripada jumlah tersebut, lebih 9,000 merupakan individu antivaksin yang benar-benar menolak suntikan tersebut.

Beliau berkata, angka selebihnya pula adalah mereka yang menolak vaksin kerana masalah kesihatan serta mempunyai penyakit.

“Setakat ini data yang dikumpulkan melalui pemimpin setempat termasuk ketua-ketua jajahan, ketua kampung dan sebagainya mendapati seramai 27,000 daripada keseluruhan 1.103 juta penduduk di Kelantan tidak mahu divaksin.

"Lebih 9,000 orang yang enggan divaksin itu memberi pelbagai alasan, antaranya mendakwa vaksin adalah agenda Yahudi dan berbahaya. Selebihnya tidak mahu divaksin kerana berpenyakit," katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.

Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan negeri tidak mahu melabelkan golongan yang enggan menerima vaksin itu sebagai antivaksin, sebaliknya berharap mereka mengubah pendirian.

“Dasar kerajaan sememangnya tidak boleh memaksa seseorang individu untuk mengambil vaksin, namun jika tidak divaksin akan mengundang bahaya kepada orang lain serta diri mereka sendiri ketika berurusan dengan pihak lain.

“Sebab itu vaksin penting dan berkesan untuk mencegah Covid-19. Jadi saya minta mana-mana individu yang tidak mahu divaksin itu supaya ubah fikiran,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengulas kes jangkitan harian Covid-19, Kelantan masih mencatatkan kes harian sebanyak empat angka.

"Sebanyak 72 peratus kes kematian akibat Covid-19 adalah membabitkan individu belum menerima vaksin.

“Sehingga kini, Kelantan mencapai 94 peratus individu dewasa yang sudah divaksin dos pertama, manakala 38,000 orang lagi belum menerima vaksin," jelas beliau.'