Tiada pencerobohan dalam sistem data JPN sebalik agensi lain

Hamzah Zainudin
Hamzah Zainudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan dakwaan kebocoran data empat juta rakyat Malaysia melalui sistem myIDENTITY adalah menerusi pencerobohan sistem dalaman Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Data tersebut didakwa mengandungi maklumat rakyat Malaysia yang dilahirkan di antara tahun 1979 hingga 1998 yang ditawarkan di laman web RaidForums.com pada harga 0.2 BTC (Bitcoin) bersamaan dengan RM35,495.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, walaupun myIDENTITY menggunakan pangkalan data milik JPN, sistem tersebut dikongsi oleh lebih 100 agensi kerajaan termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"JPN berkongsi perkhidmatan sistem myIDENTITY dengan beberapa agensi kerajaan bagi tujuan semakan dan pengesahan identiti warganegara Malaysia dan pemastautin tetap yang berurusan dengan agensi berkenaan.

"JPN telah menjalankan siasatan dalaman dan mendapati tiada kebocoran data berlaku dalam sistem JPN dan mengesahkan tiada sebarang kes seperti demikian yang pernah berlaku sebelum ini," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman yang disiarkan secara langsung di Facebook pada Rabu.

Hamzah berkata, siasatan terperinci akan dijalankan oleh pihak polis kerana kebocoran data tersebut boleh berlaku melalui mana-mana agensi kerajaan yang mempunyai akses kepada sistem tersebut.

"Kita tidak membenarkan agensi yang menggunakan sistem myIDENTITY ini untuk berkongsi data yang mereka peroleh dengan pihak lain.

"Jadi kita minta polis lakukan siasatan mendalam yang mungkin membabitkan ada kebocoran di mana data berkenaan dicuri dari agensi-agensi ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Selasa melaporkan berkenaan satu kertas siasatan yang dibuka oleh pihak polis berhubung dakwaan pencerobohan dan kecurian data terbabit.

Menurut laporan tersebut, pihak polis tidak menolak kemungkinan penglibatan pegawai agensi yang berkenaan sebagai dalang pencerobohan berkenaan.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, pihaknya akan memastikan ciri-ciri keselamatan dan kaedah perkongsian data menerusi sistem myIDENTITY ditambah baik serta memberi jaminan data peribadi di bawah JPN adalah selamat daripada sebarang pencerobohan.

"KDN sentiasa memastikan keselamatan dan integriti data rakyat Malaysia yang berada di bawah jagaan JPN adalah terjamin dan selamat.

"KDN akan memastikan semua agensi yang menggunakan data myIDENTITY daripada JPN segera mengambil langkah keselamatan yang tinggi bagi mengelakkan kebocoran data daripada diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.