Pegawai syariah perlu hayati semangat 'Keluarga Malaysia': PM

Ismail Sabri- Foto Bernama
Ismail Sabri- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru pegawai syariah menghayati semangat 'Keluarga Malaysia' serta tanggungjawab bagi memastikan hukum syarak dilaksanakan dengan adil dan saksama dengan meletakkan standard yang tinggi dalam melaksanakan usaha keadilan Islam.

Ismail Sabri berkata, walaupun mahkamah syariah di Malaysia mempunyai bidang kuasa yang eksklusif dan tersendiri di setiap negeri, namun ia bukan penghalang bagi institusi tersebut bergerak secara bersama atas semangat 'Keluarga Malaysia'.

"Konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh pentadbiran saya meletakkan kepentingan masyarakat dan rakyat di tempat yang utama.

"Keluarga Malaysia akan saling bertolak ansur, menggalakkan persefahaman, bekerjasama untuk kebaikan, mengelakkan konflik yang merosakkan dan memfokus kepada persamaan matlamat," katanya ketika merasmikan Persidangan Kehakiman Syariah Antarabangsa 2021 (PKA 2021) secara rakaman video di sini pada Rabu.

Ismail Sabri juga mahu hakim syarie dan pegawai syariah negara ini mengamalkan sikap integriti yang tinggi dan sentiasa dalam keadaan tenang dalam membuat sesuatu keputusan atau melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.

Perdana menteri berkata, mereka juga perlu merapatkan saf dan bersama-sama dengan kepimpinan semasa dalam mencapai usaha memartabatkan sistem Kehakiman Syariah di negara ini.

"Sifat kebersamaan dan nilai musyawarah inilah merupakan tunjang bagi prinsip kekeluargaan yang saya hasratkan dan bersama-samalah untuk kita menzahirkannya di dalam Institusi Kehakiman dan Perundangan Syariah," katanya.

Ismail Sabri juga menyarankan agar Institusi kehakiman syariah terus proaktif dalam meneroka normal perkhidmatan baharu yang lebih efektif.

Artikel Berkaitan:

Ini termasuk memanfaatkan teknologi komunikasi jarak jauh dalam penyampaian perkhidmatan di mahkamah syariah selaras dengan situasi semasa negara berada dalam fasa pemulihan akibat penularan pandemik Covid-19, katanya.

PKA 2021 dianjurkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka, Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Mahkamah Syariah Negeri Melaka.

Persidangan dua hari itu diadakan secara maya bermula Rabu.

Peserta persidangan termasuk pegawai syariah seluruh Malaysia dan jemputan luar negara melibatkan Singapura, Palestin, Brunei, Indonesia, Maldives, Papua New Guinea, Australia,Yemen dan Qatar. -Bernama