Warga emas didakwa bakar sembilan lot bangunan kedai

Chee Hong (tengah) mengaku tidak bersalah atas tuduhan khianat di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Rabu.
Chee Hong (tengah) mengaku tidak bersalah atas tuduhan khianat di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Seorang warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Rabu atas pertuduhan melakukan khianat dengan membakar sembilan lot bangunan kedai di Industri Padang Lalang, di sini pada 11 September lalu.

Yip Chee Hong, 61, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah melakukan khianat dengan api bermaksud hendak menyebabkan kerosakan kepada sembilan lot bangunan kedai yang dijadikan tempat menyimpan harta benda milik Wong Fook Har, 58.

Perbuatan itu didakwa dilakukan olehnya di Lorong 7, Industri Padang Lalang, jam 5 pagi, pada 11 September lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Aiysha Na'ilah Harizan meminta mahkamah membenarkan permohonan untuk Chee Hong menjalani pemeriksaan mental sebelum kes perbicaraan bermula.

Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh, Datuk Zaharman Zainal Abidin membantah permohonan itu atas alasan anak guamnya tidak mahu menjalani pemeriksaan berkenaan.

"Setakat ini, anak guam saya masih boleh berkomunikasi dengan jelas dan mengingati nombor kad pengenalan dengan tepat ketika dikehendaki jurubahasa.

Artikel Berkaitan:

"Tambahan pula, anak guam saya sudah lewat usia ketika kejadian itu berlaku dan mengalami masalah kesihatan termasuk demam ketika masih dalam tahanan reman," ujarnya.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan tertuduh menjalani pemeriksaan kesihatan mental di Hospital Permai, Johor Bahru mengikut Seksyen 342 (3) Kanun Prosedur Jenayah.

Kes disebut semula 28 Oktober depan sementara menunggu laporan kesihatan mental.

Pada 11 September lalu, Sinar Harian melaporkan kebakaran membabitkan sembilan lot bangunan kedai di kawasan tersebut.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ir Wan Mohammad Zaidi Wan Isa tidak menolak kemungkinan kebakaran tersebut disengajakan berdasarkan rumusan penelitian pelbagai sudut dan tiada tanda kebakaran disebabkan litar pintas atau punca lain.