GRS: Hajiji pegang prinsip, semangat kerja berpasukan

 Hajiji pada perasmian Majlis Setahun GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah hari ini. - Foto Bernama
Hajiji pada perasmian Majlis Setahun GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berpegang kepada prinsip dan semangat kerja berpasukan sejak menerajui kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) setahun lalu.

Beliau berkata, penubuhan kerajaan itu tidak dilakukan seorang diri tetapi melalui pemuafakatan antara rakan dalam GRS sendiri.

Katanya, dalam menggerakkan kerajaan pula, permuafakatan GRS itu memerlukan sokongan kesepakatan penjawat awam Negeri dan Persekutuan termasuk agensi awam lain.

"Saya mengharapkan kebersamaan kita pada hari ini melahirkan kesedaran bahawa kita semua adalah barisan tonggak utama dalam kerajaan ini.

"Setiap daripada kita punya tugas dan tanggungjawab yang besar kerana di bahu kita disandarkan harapan dan aspirasi rakyat. Pimpinan politik perlu menjunjung mandat yang diberikan rakyat sebagai pemimpin dalam kerajaan GRS.

"Penjawat awam wajib berpegang kepada ikrar taat setia perkhidmatan awam untuk bekerja sepenuh jiwa dan raga sebagai jentera serta tulang belakang kerajaan," katanya ketika berucap sempena majlis Setahun Kerajaan GRS Bersama Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Rabu.

Beliau dalam pada itu turut menyampaikan hasratnya supaya semua pihak memahami dan menerima hakikat kepentingan peranan saling melengkapi sebagai satu pasukan.

"Sedarlah, bahawa di luar sana ramai yang mengharapkan pimpinan kerajaan yang jujur, ikhlas dan berkhidmat dengan berkesan.

Artikel Berkaitan:

"Sebaik sahaja keluar meninggalkan dewan ini, kita perlu terus bekerja, melipatgandakan usaha membela nasib rakyat dan menjaga kepentingan negeri, kerana realitinya kita berhadapan dengan tuntutan serta cabaran semasa yang luar biasa," katanya.

Sebelum itu, Hajiji turut berkongsi cabaran dan tuntutan dalam menerajui Sabah ketika berhadapan pandemik Covid-19.

Katanya, kerajaan GRS yang dibentuk secara rasmi pada 29 September tahun lalu adalah permulaan ujian getir yang tidak pernah dilalui dalam sejarah.

"Bukan sahaja kerajaan negeri perlu bertindak pantas menangani pandemik Covid-19 yang telah menular enam bulan lebih awal, malah Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) itu sendiri telah menjadi faktor tercetusnya gelombang baharu dengan kadar jangkitan berlipat kali ganda serta sukar dibendung.

"Selain krisis kesihatan awam, pandemik ini membawa impak secara langsung kepada kehidupan rakyat dan ekonomi negeri. Ramai yang kehilangan pekerjaan, terjejas punca pendapatan dan terputus bekalan makanan harian selain hampir keseluruhan aktiviti ekonomi terjejas sehingga pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah menguncup 9.5 peratus pada tahun 2020," katanya.

Beliau berkata, meskipun penularan pandemik membataskan usaha pemimpin untuk turun membantu rakyat secara bersemuka namun atas keprihatinan serta kerja keras pemimpin akar umbi khususnya petugas barisan hadapan, kerajaan dapat menyalurkan bantuan kepada rakyat yang terjejas.