Kerajaan perlu tingkatkan gaji minimum kepada RM1,500

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu meningkatkan gaji minimum kepada RM1,500, seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya PH, bagi membolehkan pekerja mencapai perbelanjaan RM1,870 seperti yang disyorkan dalam panduan Belanjawanku.

Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, beliau menyuarakan keprihatinannya kepada golongan berpendapatan rendah selepas panduan Belanjawanku menunjukkan perbelanjaan minimum itu lebih tinggi daripada gaji minimum RM1,100.

"Dengan separuh rakyat Malaysia yang berpendapatan kurang RM2,160 seperti yang dilaporkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution, kita dapat melihat bahawa sejumlah besar mereka berjuang untuk bertahan.

“Pelaksanaan SST telah meningkatkan kos perniagaan sebanyak 10% yang menyebabkan pengilang menyerahkan kos itu kepada pengguna, sekaligus menaikkan harga barang,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Hoe Chai berkata, kerajaan sebelum ini bersetuju dengan permintaan majikan berbanding rakyat umum yang bertungkus lumus bagi menyara kehidupan, di mana kerajaan mengeluarkan kenyataan akan menurunkan gaji minimum bagi sesetengah sektor.

"M40 juga dipinggirkan di mana mereka tidak diberikan bantuan kewangan, tidak seperti B40. Oleh itu saya menyarankan kerajaan memperluaskan bantuan seperti Bantuan Sara Hidup kepada golongan pertengahan.

"Kerajaan sepatutnya menggalakkan persatuan sekerja bangun untuk menuntut hak di mana tangga gaji yang baik bukanlah sesuatu yang mewah tetapi ia adalah hak asasi manusia," katanya.

Artikel Berkaitan: