Pembela kecewa kes Muhammad Adib ditutup

Aminuddin Yahaya dan Muhammad Adib
Aminuddin Yahaya dan Muhammad Adib
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) kecewa kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim ditutup dan hanya akan dibuka semula jika terdapat bukti baharu.

Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahaya berkata, kenyataan oleh Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin itu menimbulkan persoalan sama ada siasatan masih diteruskan untuk mendapat bukti baharu atau sekadar menunggu mana-mana pihak membuat laporan.

"Jika kes ini ditutup, bagaimana pihak berkuasa ingin kemukakan siasatan dan mencari bukti baharu. Selain itu, apakah hasil siasatan satu jawatankuasa yang ditubuh oleh polis satu ketika dahulu?

"Apakah masih tidak cukup bukti yang dikumpul dan mengapa beliau (Zuraida) pula yang mengeluarkan kenyataan berkenaan kes ini, apakah ini pendirian rasmi pihak berkuasa?" katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Aminuddin berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan berlaku kebangkitan rakyat jika isu kematian Muhammad Adib tidak ditangani dengan baik.

"Sukar untuk dipercayai bahawa pihak polis tidak dapat mencari bukti dan mengesan pesalah pada zaman teknologi yang serba canggih kini. Pelbagai pengakuan serta video dan gambar telah diambil oleh pelbagai pihak semasa kejadian, di manakah bukti-bukti ini?

"Mahkamah Koroner melalui keputusan inkues juga telah menyatakan dengan jelas terdapat bukti Adib dipukul, setelah mendengar keterangan daripada puluhan saksi dan melihat pelbagai bukti yang wujud di tempat kejadian, pelik sungguh jika kes ini ditutup begitu sahaja," katanya.

Justeru katanya, Pembela akan berusaha bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk dengan keluarga Allahyarham Muhammad Adib untuk mengorak tindakan seterusnya bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.

Artikel Berkaitan:

Sabtu lalu, Zuraida berkata, kerajaan kini akan memberi fokus terhadap keperluan keluarga Allahyarham Muhammad Adib selepas kes tersebut ditutup sementara dan hanya dibuka semula jika terdapat bukti baharu.

Muhammad Adib meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN), sebulan selepas mengalami kecederaan ketika berada di lokasi kejadian susulan rusuhan di luar Kuil Seafield Sri Maha Mariamman, di Subang Jaya pada 27 November 2018.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes Adib akan dibuka semula jika ada bukti baharu