George Bush Sr meninggal pada usia 94 tahun

George Bush Senior
George Bush Senior
A
A
A

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Bekas presiden ke-41 Amerika Syarikat (AS), George HW Bush meninggal dunia pada usia 94 tahun kira-kira tujuh bulan selepas pemergian isterinya, Barbara.

"Saya, Jeb, Neil, Marvin dan Doro dukacita mahu mengumumkan bapa kami telah meninggal dunia," kata bekas presiden, George W Bush dalam satu kenyataan dikeluarkan jurucakap keluarga terbabit, Jim McGrath.

Menurut McGrath, George Bush Senior itu dimasukkan ke Hospital Houston Methodist pada April lalu kerana jangkitan kuman dalam darah.

"Beliau menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.10 malam (waktu tempatan), semalam," ujarnya.

Difahamkan, Bush turut menderita penyakit Parkinson dan pernah dimasukkan ke hospital beberapa tahun kebelakangan ini.

Walaupun keadaan kesihatannya tidak mengizinkan, Bush masih tampil di khalayak ramai.

Presiden Donald Trump turut menyampaikan ucapan takziah bagi pihak beliau dan Wanita Pertama, Melania.

"Kami berdukacita atas kehilangan bekas Presiden George HW Bush.

"Sumbangan besar beliau dalam melucutkan senjata dan komitmen yang teguh terhadap keluarga serta negara telah memberi inspirasi kepada rakyat AS dengan kata-kata beliau, 'ribuan titik cahaya' yang menerangi harapan, keunggulan dan peluang Amerika kepada dunia," ujar jutawan hartanah tersebut. - Agensi

Info

  • Bush Senior (Sr) berkhidmat sebagai Presiden ke-41 AS antara 1989 dan 1993, penggal perkhidmatannya menandakan berakhirnya Perang Dingin dan perang Iraq pertama menentang Saddam Hussein
  • Penggal pemerintahan beliau didominasi dasar luar, kejatuhan komunisme di Eropah Timur dan pencerobohan Iraq di Kuwait pada 1990
  • Beliau mempunyai peranan penting dalam membina gabungan ketenteraan yang mendesak Saddam Hussein keluar dari Kuwait
  • Bush menjadi presiden selepas berkhidmat sebagai timbalan presiden selama dua penggal di bawah pemerintahan Ronald Reagan, namun ditewaskan Bill Clinton pada 1992 di tengah-tengah ekonomi yang lemah pada masa itu
  • Pada 1988, janji kempen beliau 'Baca bibir saya. Tidak ada cukai baharu' gagal ditepati selepas beliau mahu menterbalikkan dasar
  • Bush menyertai arena politik pada 1964 selepas memulakan perniagaan minyak Texas dan menjadi jutawan pada usia 40 tahun
  • Ketika Perang Dunia Kedua, beliau pernah menjadi juruterbang sebelum pesawatnya ditembak jatuh oleh Jepun pada September 1944
  • Bush mengahwini Barbara Pierce yang ketika itu berumur 18 tahun selepas beliau tamatkan perkhidmatan bersama tentera laut. Perkahwinan itu kekal selama 73 tahun dan dikurniakan enam cahaya mata
  • Beliau turut terlibat dalam kerja amal mengumpulkan dana untuk mangsa tsunami 2004, gempa Haiti 2010 dan hurikan Texas pada 2017
  • Pada 2001, Bush menjadi presiden kedua AS selepas John Adams untuk melihat anaknya dilantik memegang jawatan di Rumah Putih

Artikel Berkaitan: