Batal rizab tapak tanah surau kerana tanah orang lain

Arul Kumar mendengar penerangan daripada Pejabat Daerah dan Tanah Seremban berkenaan tapak tanah surau sedia ada yang telah diwartakan pada tahun 2017.
Arul Kumar mendengar penerangan daripada Pejabat Daerah dan Tanah Seremban berkenaan tapak tanah surau sedia ada yang telah diwartakan pada tahun 2017.
A
A
A

NILAI - Tindakan Pejabat Daerah dan Tanah Seremban membatalkan perizaban tapak tanah surau di Taman Desa Melati di sini berikutan terdapat kesilapan ketika proses pemberian kelulusan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J Arul Kumar berkata, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) telah membuat permohonan tapak tanah berkenaan pada tahun 2019 dan kelulusan diberi beberapa bulan selepas itu.

"Namun selepas semakan semula dibuat didapati tanah berkenaan merupakan hak milik sebuah syarikat yang didaftarkan pada 17 April 2000.

"Jadi, Pejabat Daerah dan Tanah Seremban terpaksa membatalkan kelulusan yang telah dibuat," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui melawat lokasi pada Rabu.

Menurutnya, pembatalan itu bukan bermaksud kerajaan negeri menghalang pembinaan surau di kawasan itu yang 50 peratus penduduknya beragama Islam.

Jelasnya, ini kerana terdapat tanah lain seluas 3,565 meter persegi di situ telah pun diwartakan sebagai tapak surau pada tahun 2017 di bawah kawalan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan(JHEAINS).

Bagaimanapun katanya, JHEAINS difahamkan telah membuat permohonan tapak tanah lain kerana beranggapan tapak tanah sedia ada yang telah diwartakan agak tinggi dan tidak sesuai untuk pembinaan surau.

"Saya pun telah berjumpa dengan penduduk Islam di taman ini dan mereka pun tiada masalah jika surau dibina di tapak tanah sedia ada.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai ADUN, saya juga telah minta kerajaan negeri bantu pembinaan surau di situ kerana sejak kawasan perumahan itu dibuka, masih belum ada sebuah surau pun yang dibina," katanya.

Beliau yang juga Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan berkata, apa yang dikesalkan apabila tindakan pembatalan itu dijadikan isu oleh pihak tertentu yang memberi gambaran seolah-olah kerajaan negeri menghalang pembinaan rumah ibadat orang Islam.

Sehubungan itu, beliau berharap perkara itu tidak terus dijadikan isu perkauman dan dipanjangkan kerana disebabkan berlaku kesilapan.