Empat daerah di Kedah dilanda banjir kilat

A
A
A

ALOR SETAR – [DIKEMAS KINI] Empat daerah di negeri ini dilanda banjir kilat selepas hujan lebat berterusan selama lebih dua jam bermula pada petang Selasa.

Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, daerah Baling merekodkan paling ramai mangsa yang dipindahkan iaitu seramai 183 orang, diikuti Sik (61 mangsa), manakala Kuala Muda melibatkan lebih 30 buah rumah.

Beliau bagaimanapun berkata, banjir kilat yang berlaku di daerah Kubang Pasu tidak membabitkan penempatan dan hanya menenggelamkan jalan utama di Changlun.

“Seramai 61 mangsa daripada 15 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Gulau, Sik berikutan banjir kilat melanda tiga kampung di daerah itu pada malam Selasa,” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, PPS SK Gulau dibuka pada jam 10.30 malam Selasa dan menempatkan kesemua mangsa dari tiga kampung iaitu Kampung Landai, Kampung Pinang dan Kampung Melaka.

“Dua keluarga di Kampung Landai dipercayai terperangkap apabila rumah mereka ditenggelami air dalam banjir kilat sejak jam 8 malam. Kejadian turut menyebabkan dinding rumah mangsa runtuh.

"Mangsa yang terperangkap berjaya dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba dan dibantu penduduk," jelas beliau.

Saifuddin berkata, berdasarkan data yang dikemas kini setakat jam 4 petang Rabu, terdapat pertambahan mangsa banjir di daerah Baling.

Artikel Berkaitan:

“Sejak malam Selasa, seramai 183 mangsa membabitkan 70 keluarga dipindahkan ke lapan PPS di daerah Baling.

"PPS SK Titi Gantung menempatkan 44 mangsa, selain PPS SK Siong (28), PPS SK Bayu (25), PPS SK Tanjung Pari (23), Dewan Banggol Derom (17), PPS SK Bandar (sembilan) dan PPS SK Tunku Putera (lapan).

“PPS yang dibuka pada pagi Rabu ialah di Maktab Mahmud Baling menempatkan 30 mangsa daripada 18 keluarga,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata, dua mukim di daerah Kuala Muda iaitu Gurun dan Semeling turut ditenggelami air.

“Lebih 10 rumah di mukim Gurun dinaiki air membabitkan Kampung Cengai Sungai Ibor (lapan rumah), Kampung Sungai Bongkok serta Kampung Batu Tiga.

"Di mukim Semeling pula ialah di Kampung Sungai Tok Pawang dengan 20 rumah terjejas,” katanya.

Menurutnya, paras air meningkat setinggi 0.3 hingga 0.5 meter, namun setakat ini tiada PPS dibuka di daerah Kuala Muda.

Katanya, trend air kini semakin surut, namun pemantauan oleh anggotanya masih dilakukan berikutan cuaca agak mendung.

Tambah beliau, hujan lebat lebih dua jam turut menyebabkan air bertakung secara mendadak dan menenggelamkan jalan utama di hadapan Taman Jelutong, Changlun di daerah Kubang Pasu.

“Paras air naik setinggi 0.3 hingga 0.5 meter sehingga berlaku kesesakan jalan raya di kedua-dua laluan Jitra-Changlun sejauh kira-kira tujuh kilometer. Namun setakat ini tiada pusat pemindahan dibuka atau kemalangan jiwa dilaporkan," ujarnya.