X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Ahmad Maslan bebas dua tuduhan babit dana RM2 juta

Ahmad Maslan
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu atas dua pertuduhan iaitu gagal mengisytiharkan wang RM2 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan memberi pernyataan palsu.

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah untuk menarik balik kedua-dua pertuduhan terhadap Setiausaha Agung UMNO itu.

Ia selepas tertuduh bersetuju untuk membayar kompaun berjumlah RM1.1 juta pada Selasa.

Ahmad Shahrir berkata, apabila pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan, mahkamah boleh memberi perintah pelepasan tanpa pembebasan jika wujud alasan-alasan wajar yang dikemukakan oleh Pendakwa Raya.

Jika tiada alasan yang wajar, katanya, mahkamah sepatutnya memberi perintah pelepasan dan pembebasan.

Beliau berkata, prinsip itu diasaskan gagasan bahawa tertuduh tidak seharusnya dibayangi sesuatu pertuduhan tanpa julat masa yang pasti, sedangkan tidak dapat ditentukan sama ada pertuduhan itu akan dihadapkan semula atau tidak terhadapnya pada masa akan datang.

“Atas alasan itu, Timbalan Pendakwa Raya mengesahkan bahawa tertuduh tidak akan dihadapkan semula dengan pertuduhan yang sama pada masa akan datang.

“Ini berikutan tertuduh telah menerima tawaran kompaun dan menjelaskan bayaran kompaun tersebut," jelas beliau.

Apabila pendakwaan menjalankan kuasanya di bawah Seksyen 254(1) Kanun Prosedur Jenayah untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh, Ahmad Shahrir berkata, ia menjadi kewajipan mahkamah berdasarkan Seksyen 254(3) Kanun Prosedur Jenayah untuk mempertimbangkan sama ada tertuduh diberi pelepasan tanpa pembebasan atau perintah pelepasan dan pembebasan.

Menurutnya, ia merupakan budi bicara kehakiman yang mesti dipertimbangkan menurut lunas undang-undang.

Beliau berkata, hakikatnya mahkamah tidak boleh menggesa pihak pendakwaan untuk tetap meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh jika Pendakwa Raya menarik balik pertuduhan tersebut.

“Ini ialah kedudukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.

Sementara itu, ketika prosiding, peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad memohon anak guamnya dilepas dan dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan itu kerana telah menyelesaikan kompaun yang ditawarkan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar berkata, pihaknya tidak mempunyai hujahan balas terhadap permohonan peguam tersebut.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan perbicaraan berlangsung selama 23 hari bermula 7 Jun 2022.

Pada 21 Januari 2020, Ahmad, 55, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar berjumlah RM2 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri itu kepada LHDN dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Beliau dituduh telah menerima wang tersebut yang dipercayai sebagai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013. Cek itu telah ditunaikan sendiri oleh Ahmad pada hari sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 30 April 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad didakwa telah memberi pernyataan palsu kepada SPRM semasa percakapannya dirakamkan oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa, Mohd Zairi Zainal berhubung isu berkenaan di bilik sidang media Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen di sini antara jam 2.45 dan 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Maslan sekali lagi hantar representasi


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!