Dulu suka bawa bakul berisi mekap ibu, kini impian Nurul tercapai

Nurul (kiri) mahu menjadi jurumekap terkemuka setanding jurumekap antarabangsa satu hari nanti.
Nurul (kiri) mahu menjadi jurumekap terkemuka setanding jurumekap antarabangsa satu hari nanti.
A
A
A

KOTA BHARU – Minat seorang remaja terhadap dunia kecantikan sejak berumur lima tahun membuahkan kejayaan kepadanya apabila dia kini menjadi antara jurumekap muda di negeri ini.

Sejak kecil menggunakan barangan mekap ibu yang diletakkan di dalam satu bakul kecil, namun kini bakul tersebut ditukarkan kepada beg yang dipenuhi dengan pelbagai barangan mekap berjenama.

Baru berumur 19 tahun, Nurul Aulia Natasya Rosemady yang juga pelajar Sijil Terapi Kecantikan di Kolej Komuniti Kok Lanas sudah memulakan kerjaya sebagai jurumekap amatur sejak awal tahun ini.

Pada mulanya dia hanya ‘main-main’ untuk menggunakan wajah kakak dan ibu sebagai model, namun anak kedua daripada tiga beradik itu memberitahu, dia tidak menyangka hasil tangannya mendapat pujian ramai selepas dipaparkan di laman sosial Instagram miliknya.

“Dari situlah timbulnya idea untuk saya mula berkecimpung dengan dunia jurumekap ini dengan lebih serius. Pada awalnya saya takut, tapi keluarga banyak beri dorongan dan semangat sehingga saya memberanikan diri menjadi jurumekap,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Dusun di sini pada Selasa.

Menjadikan jurumekap terkemuka seperti ‘Mua Bella’ sebagai panduan, Nurul mengakui dia sering menghabiskan masa berjam-jam untuk melihat, meneliti dan belajar cara Bella mencantikkan muka seseorang pelanggan dengan bakat yang ada.

Nurul (kiri) turut menjadikan sahabatnya, Adriana Rosman sebagai model setiap kali dia mahu mempraktikkan apa yang dipelajari.
Nurul (kiri) turut menjadikan sahabatnya, Adriana Rosman sebagai model setiap kali dia mahu mempraktikkan apa yang dipelajari.

Malah, katanya, dengan ilmu yang dipelajari di Kolej Komuniti ternyata amat berguna untuk dirinya melangkah lebih jauh dalam bidang berkenaan untuk masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dengan kelas yang diadakan melalui dalam talian, dia mempunyai ruang untuk mempraktikkan bakat yang ada itu dengan mengambil tempahan tatarias daripada rakan-rakan terdekat.

“Saya menerima tempahan daripada rakan-rakan terdekat. Ada juga pelanggan yang menghubungi melalui Instagram dan sebagainya. Alhamdulilah, setakat ini semuanya berjalan dengan baik.

“Upah yang saya kenakan juga berpatutan bermula RM50 sehingga RM100 mengikut konsep-konsep yang saya tawarkan seperti mekap biasa, mekap pengantin, mekap untuk penggambaran dan yang terbaharu ialah mekap mengikut tema seperti Bollywood dan ‘Scary’.

“Kadang-kadang saya terpaksa mengehadkan pelanggan ikut masa yang terluang tanpa menganggu kelas dan pembelajaran saya. Tambahan lagi saya juga perlu jaga diri dengan penyediaan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 setiap masa,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai perancangan di masa hadapan, kongsi remaja berkenaan, dia mahu melanjutkan pengajian lebih tinggi dalam bidang berkenaan, selain menjadi jurumekap terkemuka setanding jurumekap antarabangsa.