X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Tangani banjir kilat pusat bandar

Banjir kilat di sekitar Bandaraya Shah Alam, Ahad lalu.
A
A

FENOMENA hujan lebat Ahad lalu menyebabkan beberapa kawasan di seluruh negara dilanda banjir kilat, tidak terkecuali di bandar raya Shah Alam, Selangor. Antara kawasan yang terjejas ialah sekitar Stadium Shah Alam di Seksyen 13 yang dinaiki air setinggi 1.2 meter.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada limpahan Sungai Damansara yang tidak lagi mampu menampung air yang banyak.

Banjir kilat bukanlah masalah asing di Shah Alam. Malah di kawasan pusat bandar yang menempatkan banyak aset strategik negeri itu juga sering berlaku banjir jika hujan lebat selama lebih sejam. Shah Alam juga pernah dilanda banjir besar sekitar tahun 1995 di kawasan perumahan Taman Sri Muda.

Pada tahun yang sama, banjir turut menyebabkan kemusnahan harta benda di Kuala Lumpur dan Georgetown, Pulau Pinang.

Bahkan, di bandar-bandar tersebut, banjir kilat pernah menjadi begitu kerap sehingga alasan pihak berkenaan bahawa banjir disebabkan oleh fenomena alam tidak dapat diterima lagi

Pembangunan pesat yang menyebabkan peningkatan air larian permukaan, sistem saliran yang tidak mencukupi, kekurangan kolam takungan kerana sukar dibina di kawasan yang sudah padat penduduk dan masalah pembuangan sampah ke dalam longkang sehingga longkang tersumbat adalah antara kecuaian manusia yang mengundang bencana banjir di bandar.

Mengambil kira insiden terbaharu di Shah Alam, kerajaan negeri wajar mendalamkan Sungai Damansara yang dikatakan punca utama kepada masalah banjir di Shah Alam, Subang dan kawasan sekitar sebagai penyelesaian jangka panjang.

Sudah banyak kali isu pembesaran Sungai Damansara disuarakan setiap kali berlaku banjir. Seharusnya dari dulu lagi satu tindakan segera diambil bagi mendalamkan sungai tersebut.

Walaupun tiada kemalangan jiwa dan kemusnahan harta benda yang serius, insiden banjir kilat di kawasan bandar yang padat penduduk tidak boleh dipandang ringan.

Manusia patut mempelajari cara-cara memaksimumkan sumber semula jadi dan meminimumkan bahaya serta bencana.

Malang sekali, kita sering tidak belajar dengan cepat sebaliknya lazim mengulangi kesilapan-kesilapan lalu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!