Bantuan bersasar perlu diteruskan

Madeline Berma
Madeline Berma
A
A
A

SHAH ALAM - Bantuan bersasar seperti pemberian wang tunai dan perlindungan sosial kepada mereka yang layak, khususnya golongan B40 perlu diteruskan untuk satu tempoh jangka masa tertentu.

Pakar ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma berpandangan, kesan Covid-19 cukup besar dan tumpuan kerajaan haruslah dalam meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat.

Bagaimanapun katanya, bantuan perlu diberikan mengikut keperluan dan bukannya semua golongan memerlukan bantuan berupa wang tunai.

“Krisis Covid-19 meninggalkan impak berpanjangan kepada kelangsungan hidup rakyat. Disebabkan itu, kerajaan perlu mengambil kira faktor ini untuk menggariskan dasar membasmi kemiskinan bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Dalam tempoh setahun mendatang, saya lihat antara bentuk bantuan yang boleh diberikan ialah kerajaan boleh membayar bil elektik untuk golongan B40. Jadi, pendapatan boleh guna mereka boleh meningkat apabila tidak perlu lagi membayar bil elektrik untuk tempoh tertentu.

“Persoalannya, sampai bila bantuan sebegini perlu diteruskan? Bagi saya, sehingga golongan ini benar-benar pulih. Bagaimanapun, bantuan itu hanyalah kepada mereka yang betul-betul perlu iaitu B40 dan bukannya kepada semua orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin.

Mengulas lanjut, Madeline yang juga Felo Akademi Sains Malaysia berkata, rata-rata kumpulan M40 yang jatuh miskin kerana kesan Covid-19 adalah golongan berpendidikan, sekali gus bentuk bantuan untuk membawa mereka keluar daripada kemiskinan adalah berbeza.

Artikel Berkaitan:

“Bagi golongan ini bantuan yang diperlukan lebih berbentuk sokongan, pinjaman atau projek serta ikut keperluan masing-masing.

“Jika juruterbang yang dahulunya gaji tinggi dan kemudian hilang kerja adalah berbeza dengan keperluan golongan lain.

“Bantuan RM300 mungkin tidak beri kesan, jadi bantuan yang diberikan mesti mengikut keperluan mereka,” ujarnya.