Kad sim data internet Selangor mula diedarkan pada Selasa

Amirudin (tengah) bersama wakil-wakil PPD Selangor di Kediaman Datuk Menteri Besar, di sini pada Selasa.
Amirudin (tengah) bersama wakil-wakil PPD Selangor di Kediaman Datuk Menteri Besar, di sini pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor mula mengedarkan kad sim dengan kemudahan data internet percuma bagi tempoh setahun menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 kepada golongan sasaran pada Selasa.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, seramai 7,000 pelajar pelajar yang menyertai Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) menerima manfaat tersebut mulai Oktober depan.

Menurutnya, kad sim tersebut diserahkan kepada pelajar daripada keluarga B40 di semua daerah menerusi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing.

Beliau berkata, pemberian kuota data internet sebanyak 15 gigabit bagi setiap bulan mulai Oktober ini membabitkan kos sebanyak RM20 hingga RM30 sebulan.

"Jumlah tersebut mewakili 10 peratus daripada 70,000 individu melibatkan usahawan, pelajar dan lain-lain.

"Diharap inisiatif ini dapat membantu pelajar untuk menjalani Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) dan menghadiri kelas PTRS secara dalam talian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pemberian Kad Sim Percuma Inisiatif Pakej Kita Selangor 2.0 di Kediaman Datuk Menteri Besar pada Selasa.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, bantuan ini juga akan diperluaskan secara berfasa meliputi golongan usahawan dan kumpulan-kumpulan yang memerlukan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, penerima bantuan kemudahan ini juga akan dikenal pasti oleh pihak-pihak Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) di setiap daerah dengan anggaran sekitar 500 sehingga 1,000 membabitkan keluarga, ibu bapa yang memerlukan.

"Kad sim ini akan diserahkan kepada pihak terbabit termasuk ketua kampung, ahli-ahli Majlis untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan. Fasa pemberian seterusnya akan dimaklumkan kelak secara berperingkat mengikut Pusat Khidmat Masyarakat DUN.

"Kita juga akan berhubung dengan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) dan Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail agar bantuan ini dapat diagihkan kepada yang memerlukan," katanya.

Pada Ogos lalu, kerajaan Selangor menawarkan pemberian kad sim bersama kemudahan data internet percuma untuk tempoh setahun kepada penduduk yang layak dalam usaha memperkasakan agenda digitalisasi di negeri ini.

Inisiatif Data Internet Selangor menerusi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) menyediakan peruntukan sebanyak RM17.5 juta bagi menjayakan usaha tersebut yang merupakan kesinambungan kepada Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumumkan sebelum ini.