Taliban guna pakai Perlembagaan 1964 secara sementara

Taliban memaklumkan mana-mana kandungan Perlembagaan itu yang didapati tidak bersesuaian dengan undang-undang Islam dan bertentangan dengan prinsip Emiriah Islam Afghanistan akan dipinda. - Foto Agensi
Taliban memaklumkan mana-mana kandungan Perlembagaan itu yang didapati tidak bersesuaian dengan undang-undang Islam dan bertentangan dengan prinsip Emiriah Islam Afghanistan akan dipinda. - Foto Agensi
A
A
A

KABUL - Pemerintah Taliban pada Selasa memaklumkan ia akan menggunapakai Perlembagaan 1964 secara sementara yang memberikan hak mengundi kepada golongan wanita.

Pemangku Menteri Kehakiman, Mawlavi Abdul Hakim Sharaee berkata, kerajaan sementara merancang untuk memperkenalkan piagam ketika era pemerintahan demokrasi, Raja Mohammad Zahir Shah.

"Bagaimanapun, mana-mana kandungan Perlembagaan itu yang didapati tidak bersesuaian dengan undang-undang Islam dan bertentangan dengan prinsip Emiriah Islam Afghanistan akan dipinda," ujarnya.

Kira-kira enam dekad lalu sebelum pencerobohan kuasa besar di Kabul, negara itu sempat berada di bawah pemerintahan monarki untuk tempoh yang singkat.

Raja Mohammad Zahir meratifikasi Perlembagaan setahun selepas baginda memegang tampuk pemerintahan pada 1963 dan memerintah negara itu secara demokrasi selama hampir sedekad sebelum digulingkan pada 1973.

Kandungan Perlembagaan itu memberikan hak mengundi kepada wanita buat pertama kali selain membuka pintu untuk penyertaan golongan tersebut dalam bidang politik yang masih dalam pertimbangan pemerintah Taliban.

Selepas pendudukan Kesatuan Soviet pada 1980-an disusuli perang saudara dan pemerintahan ultrakonservatif Taliban, Afghanistan kembali mengguna pakai Perlembagaan setelah pencerobohan pakatan tentera asing diketuai Amerika Syarikat (AS) pada 2001.

Bagaimanapun, ia tidak mengembalikan sistem monarki sebaliknya bersetuju dengan kandungan piagam baharu pada 2004 yang membayangkan pentadbiran presiden dan hak sama rata terhadap golongan wanita. - Agensi

Artikel Berkaitan: