X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 23 Oktober 2021

Harga minyak mentah meningkat susulan tarikan permintaan-penawaran

Pada Selasa, minyak mentah Brent melonjak 1.07 peratus kepada AS$80.38 setong, manakala West Texas Intermediate meningkat 1.29 peratus kepada AS$76.42 setong. - Foto 123rf
A
A

PENINGKATAN harga minyak mentah ketika ini telah dijangkakan ketika sebahagian daripada negara-negara dunia menyaksikan peningkatan permintaan susulan keadaan pandemik Covid-19 yang mula mereda, kata seorang penganalisis.

Naib Presiden bagi Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, permintaan terhadap minyak mentah dijangka kekal di atas paras AS$80 (AS$1 dollar =RM4.18) setong untuk beberapa waktu dan kemungkinan mencecah paras AS$90 setong dengan ketibaan musim sejuk di hemisfera utara tidak lama lagi.

"Dengan peningkatan kadar vaksinasi dan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) di kebanyakan negara, permintaan terhadap minyak mentah mula kembali.

“Kami berpendapat sektor tenaga tempatan boleh menjadi satu lagi tumpuan utama pemulihan bagi peluang dagangan dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang,” katanya kepada Bernama.

Harga minyak mentah melepasi AS$80 setong pada Selasa yang merupakan paras tertinggi sejak Oktober 2018 di tengah-tengah krisis tenaga global, berikutan petanda permintaan mengatasi penawaran dan penurunan inventori.

Pada Selasa, minyak mentah Brent melonjak 1.07 peratus kepada AS$80.38 setong, manakala West Texas Intermediate meningkat 1.29 peratus kepada AS$76.42 setong.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kurangnya pelaburan dalam sektor minyak dan gas dalam tempoh 18 bulan lepas merupakan antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan harga minyak mentah.

"Ia dapat difahami ekoran penularan Covid-19 yang menyebabkan aktiviti ekonomi global hampir terhenti berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, ini telah mewujudkan ketidakpadanan antara peningkatan permintaan minyak mentah dan kapasiti yang tersedia untuk dikeluarkan, kata Mohd Afzanizam.

"Itu belum lagi ditambah dengan Taufan Ida, yang memberi kesan negatif kepada kapasiti penapisan Amerika Syarikat semasa tempoh Ogos dan September.

"Situasi yang sama juga berlaku dalam komoditi lain iaitu arang batu dan gas asli di mana harga meningkat dengan ketara. Impaknya boleh dua kali ganda,” katanya.

Baru-baru ini, Goldman Sachs mengunjurkan harga minyak mentah Brent mencecah AS$90 setong sebelum akhir 2021 di tengah-tengah kekurangan bahan api yang boleh membawa kepada peningkatan tenaga global pada bulan-bulan akan datang.

Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) yang tidak dapat menampung lonjakan permintaan itu berdepan kesukaran untuk meningkatkan pengeluaran ekoran kurangnya pelaburan atau penangguhan penyenggaran akibat daripada pandemik. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!