Vaksinasi remaja 12 hingga 15 tahun di Pulau Pinang bermula Selasa

Sehingga 27 September, 32,420 remaja telah menerima dos pertama dan 714 lagi telah menerima dos kedua dari lima Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh Pulau Pinang. - Foto fail Bernama
Sehingga 27 September, 32,420 remaja telah menerima dos pertama dan 714 lagi telah menerima dos kedua dari lima Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh Pulau Pinang. - Foto fail Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Pelajar berusia 12 hingga 15 tahun mula menerima vaksinasi Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja) peringkat negeri Pulau Pinang pada Selasa.

Exco Belia dan Sukan negeri, Soon Lip Chee berkata, usaha itu menyusul selepas kerja-kerja vaksinasi remaja berusia 16 dan 17 tahun dimulakan 23 September lepas.

“Berkongsi data daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sehingga 28 September 2021, jumlah keseluruhan remaja berusia 16 hingga 17 tahun (pelajar dan bukan pelajar) di negeri ini adalah seramai 43,000 orang, manakala 93,000 lagi merupakan pelajar berusia 12 hingga 15 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya, sehingga 27 September, 32,420 remaja telah menerima dos pertama dan 714 lagi telah menerima dos kedua dari lima Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh Pulau Pinang iaitu di Tapak Pesta, Dewan Universiti Sains Malaysia (USM), Kompleks Sukan Balik Pulau, Seberang Perai Arena dan Dewan Serbaguna Jawi.

Lip Chee turut menyeru remaja yang berusia 12 sehingga 17 tahun supaya mendaftarkan diri dalam aplikasi MySejahtera supaya tidak tercicir daripada mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

“Kerajaan negeri atas usaha bersama-sama JKNPP bakal menambah jumlah serta kapasiti PPV sedia ada bagi mempercepatkan proses vaksinasi,” katanya.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Hotel Mei yang terletak di Lorong Abu Siti, di sini bakal beroperasi sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Swasta (PKRCS) untuk pesakit Covid-19 Kategori satu dan dua dengan menawarkan penempatan sementara secara percuma kepada penduduk negeri Pulau Pinang bermula 1 Oktober ini.

Kon Yeow berkata, kemudahan itu disediakan kepada penduduk negeri yang tergolong dalam kalangan B40 yang memenuhi kriteria ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Ia merupakan usaha sama antara kerajaan negeri bersama-sama badan bukan kerajaan (NGO), Crisis Relief Services and Training Berhad (CREST) yang menawarkan pembiayaan kira-kira RM1.7 juta untuk pengoperasian PKRCS di sini bagi tempoh tiga bulan.

“PKRCS Hotel Mei menyediakan 70 bilik untuk pesakit Covid-19 yang berusia dua tahun hingga 60 tahun yang menjalani kuarantin diri.

"Pada satu-satu masa, segala fasiliti PKRCS di hotel berkaitan mampu menampung kapasiti maksimum pesakit Covid-19 seramai 147 orang. Semua pesakit ke PKRCS berkaitan adalah ditentukan oleh Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) dan tiada polisi jumpa terus dibenarkan,” katanya. - Bernama