Cadang kerajaan tiga hala

Olaf Scholz disebut sebagai calon untuk menggantikan Merkel sebagai Canselor Jerman. - Foto Agensi
Olaf Scholz disebut sebagai calon untuk menggantikan Merkel sebagai Canselor Jerman. - Foto Agensi
A
A
A

BERLIN - Parti Demokrat Sosial (SPD) yang menang tipis pada Pilihan Raya Persekutuan Jerman pada Selasa memaklumkan ia berharap dapat mengadakan rundingan berhubung penubuhan kerajaan tiga hala bersama Parti Hijau dan Demokrat Bebas (FDP) pada minggu ini.

Pengerusi SPD, Rolf Muetzenich menyambut baik inisiatif dua parti kecil tersebut untuk menyelesaikan perbezaan mereka, namun beliau masih mahu bertemu dengan rakan gabungan berpotensi itu.

Kenyataan itu dibuat selepas Parti Hijau dan FDP memberitahu mereka akan berbincang terlebih dahulu sebelum memulakan rundingan dengan SPD atau blok konservatif, Kesatuan Demokratik Kristian (CDU) /Kesatuan Sosial Kristian (CSU) pimpinan Canselor Angela Merkel.

Sementara itu, calon canselor mewakili SPD, Olaf Scholz yang juga Timbalan Canselor menyatakan beliau berharap usaha itu akan menunjukkan perkembangan positif.

“Saya sangat optimis. Kami akan berjaya menubuhkan pakatan ini dengan pragmatisme dan kesediaan untuk bekerjasama,” ujarnya menerusi Twitter.

Pesaingnya daripada blok konservatif, Armin Laschet memaklumkan beliau akan cuba menubuhkan kerajaan walaupun memperoleh keputusan terburuk dalam pemilihan tersebut.

Kaji selidik dilakukan oleh Civey Institute untuk akhbar harian Augsburger Allgemeine mendapati 71 peratus responden menolak Laschet sebagai pengganti Merkel.

Difahamkan, Merkel yang tidak berhasrat memegang jawatan bagi penggal kelima akan kekal sebagai canselor sementara ketika rundingan kerajaan gabungan itu diadakan untuk menentukan hala tuju negara ekonomi terbesar di Eropah tersebut.

Artikel Berkaitan:

Rundingan untuk menubuhkan kerajaan campuran didakwa proses paling sukar selepas Pilihan Raya Persekutuan dan boleh mengambil masa selama beberapa bulan dan kadangkala tidak berjaya.

Ketika pemilihan pada 2017, usaha untuk menubuhkan kerajaan tiga hala bersama CDU, Parti Hijau dan FDP didakwa pernah gagal dan pelantikan Merkel sebagai canselor secara rasmi juga mengambil masa lebih lima bulan. - Agensi

Info

-SPD yang merupakan parti tertua di Jerman memenangi 25.7 peratus undi iaitu peningkatan sebanyak lima mata peratusan berbanding pemilihan pada 2017.

-Parti itu menewaskan blok konservatif CDU/CSU pimpinan Merkel yang meraih 24.1 peratus undi.

-Parti Hijau memperoleh 14.8 peratus undi manakala FDP mendapat 11.5 peratus undi.