Kerugian Khazanah vs kegagalan pelaburan pakaian dalam

Azmin dan Khairy Jamaluddin
Azmin dan Khairy Jamaluddin
A
A
A

SHAH ALAM - Selepas Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) mengumukan syarikat itu mencatat kerugian sebelum cukai RM6.271 bilion pada 2018 berbanding keuntungan RM2.896 bilion tahun sebelumnya, bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin tampil memberi respons berhubung perkara tersebut.

Katanya, kerugian Kazanah pada tahun lalu adalah 7,775 peratus dan ia lebih tinggi daripada apa yang dicanang oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung kegagalan pelaburan kecil dalam syarikat baju dalam berjumlah RM80 juta.

"Rakyat Malaysia masih belum lupa bagaimana Mohamed Azmin sebelum ini mencanang seantero dunia tentang kegagalan pelaburan kecil Khazanah dalam syarikat baju dalam wanita berjumlah RM80 juta. Nah, kerugian Khazanah pada tahun lalu adalah 7,775 peratus lebih tinggi daripada kerugian RM80 juta tersebut," katanya menerusi hantaran di Facebook, har ini.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan dalam sidang media Ulasan Tahunan Khazanah 2019 hari ini berkata, syarikat itu mencatat kerugian sebelum cukai RM6.271 bilion pada 2018 berbanding keuntungan RM2.896 bilion tahun sebelumnya dan ia merupakan kerugian pertama sayap pelaburan kerajaan itu sejak 2005.

Menurutnya, nilai portfolio menerusi Nilai Bersih Dilaraskan (NWA) merosot kepada RM91 bilion pada 2018, susut 21.6 peratus daripada RM116 bilion pada 2017. Jelasnya, keuntungan kumpulan terjejas akibat jumlah pelupusan yang lebih sedikit berbanding tahun sebelumnya, pendapatan dividen yang berkurangan dan peruntukan bagi susut nilai yang lebih tinggi, seiring dengan ketidaktentuan pasaran.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, perkara ini bukanlah mengejutkan kerana sepanjang tahun 2018, saham-saham syarikat utama milik Khazanah menyaksikan kemerosotan sangat ketara yang akhirnya memberikan pulangan dividen negatif kepada Khazanah.

"Sebagai contoh, saham TM dari RM5 sebelum PRU jatuh kepada RM3.09 semalam, pernah jatuh ke tahap RM2.15 pada 26 Oktober 2018. Saham CIMB pernah jatuh dari RM6.90 sebelum PRU14 kepada RM5.30 selepas pilihan raya. Saham Axiata juga pernah jatuh dari RM5.49 kepada RM3.25.

"Dengan kata lain, hampir semua portfolio utama pelaburan Khazanah tidak memberi apa-apa pulangan positif," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, walaupun berlaku kenaikan harga saham selepas beberapa bulan, namun keadaan ketika ini masih lagi buruk berbanding sebelum PRU14.

"Ditambah dengan pelbagai keputusan flip-flop dan u-turn kerajaan PH yang akhirnya menyebabkan ketidaktentuan sentimen pelabur memberi kesan kepada Khazanah," katanya.

Tambahnya, sepanjang 10 tahun yang lalu, Khazanah berjaya meningkatkan jumlah aset daripada RM34 bilion kepada lebih RM115.6 bilion, namun individu-individu penting membawa kejayaan kepada Khazanah yang diketuai oleh Tan Sri Azman Mokhtar telah ditukar kepada kepimpinan baharu pasca PRU14.

"Sehingga kini kerajaan PH masih belum lagi menunjukkan apa-apa pelan konkrit dalam membawa ekonomi Malaysia.

"Apa yang kita dengar berulangkali adalah hasilkan kereta terbang yang sekejap bukan untuk dijual sekejap untuk pertanian. Kita dengar juga kerajaan nak menganjurkan semula perlumbaan Formula satu. Tiada langsung hala tuju ekonomi yang jelas," katanya.