Kerajaan dicadang wujudkan model baharu pembangunan lapangan terbang

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur - Gambar hiasan
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mencadangkan agar kerajaan mewujudkan satu model pembangunan dan pembiayaan lapangan terbang yang baharu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, ia sebagai perancangan masa depan seiring dengan jangkaan sektor penerbangan yang akan kembali bangkit dalam pasca pandemik Covid-19.

Menurutnya, menerusi model pembangunan lapangan terbang ketika ini, kerajaan terikat dengan perjanjian operasi dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang juga syarikat operasi lapangan terbang negara.

"Walaupun MAHB merupakan sebuah syarikat milik kerajaan tetapi ia tersenarai di pasaran utama Bursa Malaysia jadi apa-apa keputusan yang tidak berkaitan dengan perjanjian operasi maka ia memerlukan keputusan daripada pemegang saham.

"Saya cadangkan kerajaan menyahsenaraikan MAHB (daripada pasaran saham) bagi membolehkan kerajaan mempunyai ruang yang besar dan bebas untuk mencari syarikat-syarikat operasi swasta lain untuk mengadakan usahasama membangunkan lapangan terbang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, sebelum ini, Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) yang memiliki sebahagian daripada MAHB juga pernah membuat kajian terhadap model baharu pembangunan lapangan terbang.

"Jadi kita perlu merancang untuk masa depan kerana pembangunan lapangan terbang ini memakan masa. Bukan hari ini kita rancang, tahun depan dapat naik taraf.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini juga banyak syarikat swasta telah memberikan pelbagai cadangan kepada kerajaan untuk mengoperasikan lapangan terbang atau membangunkan lapangan terbang melalui inisiatif swasta," katanya.

Menurutnya, beliau tidak mencadangkan lapangan terbang itu dijual seperti dicadangkan terhadap Lapangan Terbang Subang tetapi ia mesti dikuasai kerajaan melalui Khazanah bagi mencari pihak swasta untuk melakukan usahasama menaikkan atau membangunkan lapangan terbang.

"Yakinlah banyak syarikat swasta yang berminat untuk membangunkan lapangan terbang kecil termasuk di Kuantan, Ipoh, Sandakan, Tawau dan sebagainya," katanya.