5,947 individu mohon kuarantin di rumah sejak seminggu lalu

Warganegara Malaysia telah mengemukakan permohonan melalui portal Home Quarantine Application (HQA) sejak dilancarkan 20 September lalu. -Foto 123rf
Warganegara Malaysia telah mengemukakan permohonan melalui portal Home Quarantine Application (HQA) sejak dilancarkan 20 September lalu. -Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah 5,947 individu kebanyakannya warganegara Malaysia telah mengemukakan permohonan melalui portal Home Quarantine Application (HQA) sejak dilancarkan 20 September lalu untuk menjalani kuarantin di tempat kediaman.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sejak seminggu dilancarkan, portal HQA telah menerima sebanyak 4,883 permohonan lengkap dan daripada jumlah tersebut sebanyak 1,741 permohonan telah diproses.

"Sebanyak 1,612 telah diberi kelulusan untuk menjalani kuarantin di rumah atau tempat kediaman," katanya dalam kenyataan berkaitan perkembangan Covid-19 pada Selasa.

Memperinci lanjut, Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah permohonan tersebut, 3,921 melibatkan pemohon warganegara Malaysia diikuti oleh 1,910 individu bukan warganegara dan pemastautin tetap Malaysia iaitu sebanyak 116 orang.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini melancarkan portal sebagai salah satu persiapan menghadapi pertambahan kemasukan pengembara dari luar negara atas pelbagai tujuan.

Portal khas ini diwujudkan bagi memudahkan urusan permohonan kuarantin di rumah atau tempat kediaman kepada pengembara dari luar negara yang tiba di Malaysia melalui pelbagai pintu masuk antarabangsa.

Menerusi portal HQA ini, pemohon perlu mengemukakan permohonan di antara tujuh hingga 10 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata, sistem permohonan dalam talian ini masih dalam proses peralihan dan dijangka akan digunakan sepenuhnya mulai bulan depan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, KKM menyasarkan lebih banyak permohonan akan dapat diselesaikan dalam tempoh kurang dari tiga hari selepas ini sambil menambah ia akan ditambah baik dari masa ke masa.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pemohon yang telah diberikan kemudahan tersebut agar mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) kuarantin di rumah sepenuhnya.

"Ia penting agar dapat mengurangkan risiko daripada menyebarkan penyakit Covid-19 kepada keluarga dan komuniti dan mengelak penularan varian baharu terutamanya Variant of Concern (VOC) atau Variant of Interest (VOI) ke dalam negara," katanya.

Keterangan lanjut mengenai portal HQA boleh didapati di laman sesawang https://hso.moh.gov.my/outbreak-portal-hqa/. - Bernama