Gantung Parlimen: Mahkamah Rayuan tangguh keputusan rayuan Anwar

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa menangguhkan keputusan dalam rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keengganan Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada beliau bagi mencabar nasihat bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menggantung persidangan Parlimen dalam tempoh darurat.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Has Zanah Mehat membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam, Ramkarpal Singh dan Sangeet Kaur Deo yang mewakili Anwar dan Peguam Kanan Persekutuan, S Narkunavathy bagi pihak Jabatan Peguam Negara pada prosiding yang dikendalikan secara maya menerusi aplikasi Zoom.

"Kami berpendapat bahawa hujah yang dikemukakan amat substantif, kami mungkin tidak dapat memutuskan rayuan ini hari ini. Isu substantif juga turut dibangkitkan dalam dua lagi rayuan daripada Hassan Abdul Karim (Ahli Parlimen Pasir Gudang) serta Datuk Seri Salahuddin Ayub (Ahli Parlimen Pulai) dan kami sepatutnya memberikan keputusan kami pada 30 September ini.

"Namun melihat kepada rayuan ini, saya berpendapat bahawa kami perlu menimbangkannya bersama dengan dua lagi rayuan kerana fakta latar belakangnya yang lebih kurang sama. Ia juga melibatkan isu Ordinan Darurat dan nasihat Yang di-Pertuan Agong. Jadi, kami akan memutuskan kesemua rayuan pada tarikh yang sama," kata Has Zanah yang bersidang bersama-sama Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

Panel itu menetapkan pada Rabu sebagai pengurusan kes secara dalam talian bagi menentukan tarikh untuk memutuskan ketiga-tiga rayuan.

Pada 22 April lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan kebenaran yang dikemukakan Anwar bagi memulakan semakan kehakiman bagi mencabar nasihat Muhyiddin kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menggantung persidangan Parlimen semasa perintah darurat.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Mariana Yahya (kini Hakim Mahkamah Rayuan) telah menolak permohonan Anwar atas alasan mahkamah tiada bidang kuasa untuk mendengar permohonan itu berdasarkan Perkara 150 (6) dan 150 (8) Perlembagaan Persekutuan.

Anwar, yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, memfailkan permohonan itu pada 25 Januari lepas dan menamakan Muhyiddin serta kerajaan sebagai responden.

Artikel Berkaitan:

Antara lain, beliau memohon deklarasi bahawa keputusan Kabinet yang diterajui Muhyiddin untuk menasihati Al-Sultan Abdullah bagi memasyhurkan Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, yang telah mengakibatkan penggantungan Parlimen, adalah bertentangan dengan undang-undang, tidak berperlembagaan, tidak mempunyai sebarang kesan dan ultra vires.

Ramkarpal sebelum ini berhujah bahawa kerajaan yang diterajui Perikatan Nasional sebelum ini boleh bergantung kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memerangi pandemik Covid-19.

"PKP serta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 sudah memadai untuk mengawal pandemik itu berbanding menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat.

"Keputusan yang dibuat oleh Muhyiddin dan Kabinetnya untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong adalah tidak masuk akal serta tidak rasional," katanya.

Narkunavathy pula berhujah bahawa berdasarkan Hansard Parlimen mengenai pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) bagi pindaan Perkara 150 (6) dan (8) Perlembagaan Persekutuan bertarikh 9 April 1981, adalah jelas bahawa hasrat Parlimen adalah untuk mengecualikan semakan kehakiman bagi keputusan mengisytiharkan darurat dan Ordinan yang digubal di bawah undang-undang darurat.

"Alasan yang dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika membentangkan rang undang-undang itu ialah bagi mengelak maklumat penting didengar di mahkamah dalam situasi yang menyaksikan tiada tindakan segera atau berkesan diambil. Maklumat sedemikian, jika didedahkan, mungkin menyebabkan negara menjadi huru-hara dan boleh mengakibatkan kerosakan harta benda serta kehilangan nyawa mereka yang tidak bersalah.

"Berdasarkan Hansard itu, hasrat badan perundangan adalah jelas. Pemasukan Perkara 150 (6) dan (8) bertujuan menutup pintu mahkamah daripada sebarang cabaran perundangan semasa darurat dan proklamasi darurat oleh Yang di-Pertuan Agong," katanya. - Bernama