Nilai ringgit meningkat sedikit berbanding dolar AS

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Nilai ringgit meningkat sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ditutup pada urus niaga Selasa berikutan sentimen pasaran yang semakin pulih di tengah-tengah kenaikan harga minyak.

Pada jam 6 petang, unit tempatan meningkat kepada 4.1835/1855 berbanding dolar AS daripada 4.1865/1885 pada penutupan semalam.

Penganalisis kanan pasaran OANDA Asia Pasifik, Jeffrey Halley berkata, ringgit mendapat sokongan yang memberangsangkan daripada pengukuhan harga tenaga, terutamanya minyak dan gas asli, walaupun kenaikan hasil AS dan dolar AS telah memberi tekanan kepada kebanyakan mata wang Asia.

“Kenaikan harga minyak dan pembukaan ekonomi Malaysia akan kekal menjadi faktor sokongan kepada mata wang itu dan mengehadkan kenaikan dolar AS berbanding ringgit,” katanya kepada Bernama.

Ketika ini, penanda aras minyak mentah Brent menokok 0.82 peratus kepada AS$80.18 (RM335) setong.

Pada penutup, ringgit turut diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama yang lain.

Unit tempatan itu mengukuh kepada 3.0831/0848 berbanding dolar Singapura daripada 3.0915/0932 ketika ditutup pada Isnin, dan menokok berbanding euro kepada 4.8851/8874 daripada 4.8965/8989 sebelum itu.

Ia juga lebih tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.7577/7599 daripada 3.7737/7758 semalam dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.7071/7099 daripada 5.7338/7366 sebelumnya. - Bernama

Artikel Berkaitan: