Abdul Latif Romly terima ganjaran RM150,000

Azlan (tiga, kiri) menyerahkan replika cek kepada Abdul Latif (empat dari kanan) di Pejabat Menteri Besar Perlis pada Selasa.
Azlan (tiga, kiri) menyerahkan replika cek kepada Abdul Latif (empat dari kanan) di Pejabat Menteri Besar Perlis pada Selasa.
A
A
A

ATLET paralimpik negara, Abdul Latif Romly menerima ganjaran daripada kerajaan negeri Perlis atas kejayaan anak jati negeri itu menempa nama di persada dunia.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata, kerajaan negeri bersetuju memberi sumbangan bernilai RM150,000 di atas kejayaan membanggakan sebagai motivasi kepada wira negara itu untuk mencipta lebih banyak kemenangan.

Menurutnya, ia sebagai pendorong agar Abdul Latif yang meraih pingat emas pada Sukan Paralimpik Tokyo, 4 September lalu terus bersemangat untuk menyertai pelbagai kejohanan pada masa akan datang.

“Diharap usaha ini akan menjadi suntikan semangat kepada Abdul Latif untuk mendapat lebih banyak kejayaan.

“Saya difahamkan pada tahun depan, beliau akan mengambil bahagian dalam sukan yang diceburi di peringkat antarabangsa,” katanya selepas penyerahan cek di Pejabat Menteri Besar Perlis di sini pada Selasa.

Abdul Latif, 24, berjaya mengekalkan pingat emas yang dimenanginya lima tahun lalu di Paralimpik Rio 2016 apabila melakukan lompatan sejauh 7.45 meter dalam aksi akhir yang berlangsung di Stadium Olimpik Tokyo.

Pencapaian cemerlang Abdul Latif membuktikan Malaysia mampu melahirkan atlet bertaraf antarabangsa.

Anak jati Kampung Paya Kelubi, Arau itu tidak mengalami sebarang kecacatan fizikal, namun menghidap ketidakupayaan intelektual (masalah pembelajaran) dan dikategorikan sebagai kurang upaya.

Artikel Berkaitan:

Azlan turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa Abdul Latif yang sentiasa memberi dorongan serta doa kepada anaknya sehingga menempa kejayaan di peringkat antarabangsa.

“Abdul Latif masih muda dan mempunyai banyak masa lagi untuk mencapai kemenangan seterusnya,” ujarnya.

Pada majlis sama, Azlan turut mengumumkan bakal mewujudkan anugerah olahragawan dan olahragawati negeri bermula tahun hadapan.