X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021

Pengedar dadah ditahan bersama heroin bernilai RM61,573

Kamarul Rizal (dua dari kanan) menunjukkan bungkusan dadah heroin yang dirampas semasa mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di sini hari ini. - Foto Bernama
A
A

BALIK PULAU - Polis menahan seorang pengedar dadah dan merampas sebanyak 4.59 kilogram (kg) heroin bernilai RM61,573 dalam dua serbuan berasingan di Pulau Pinang, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan dijalankan polis sejak seminggu lepas, pihaknya menahan seorang lelaki berumur 36 tahun di tepi Jalan Tun Hussein On, Seberang Jaya di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dekat sini pada jam 4 petang.

"Semasa lelaki itu ditahan, polis merampas dua bungkusan heroin bersamanya dan polis kemudiannya menyerbu kawasan parkir di sebuah kondominium di Golden Triangle di Relau, Bayan Lepas di sini.

"Hasil pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Chevrolet, polis telah merampas lapan bungkusan dadah yang disimpan di dalam kenderaan tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, lelaki itu mendapatkan bekalan heroin daripada rangkaian sindiket pengedaran dadah sebelum membungkusnya semula dalam kuantiti kecil dan menjual kepada penagih dadah di sekitar kawasan Barat Daya serta SPT.

Kamarul Rizal berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan rangkaian sindiket pengedaran dadah yang menjalankan urus niaga dengan suspek dan mengesan sama ada dia bergerak sendirian atau mempunyai sindiket sendiri dalam mengedar heroin.

"Ujian air kencing mendapati lelaki itu positif dadah dan dia juga mempunyai empat rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah," katanya.

Beliau berkata, lelaki itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!