Amaran buat penceroboh hutan simpan di Selangor

Norddin menunjukkan kawasan Hutan Simpan Bukit Lagong yang diceroboh pada Selasa.
Norddin menunjukkan kawasan Hutan Simpan Bukit Lagong yang diceroboh pada Selasa.
A
A
A

SELAYANG - Jabatan Perhutanan Selangor memberi amaran tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menceroboh kawasan hutan simpan untuk membina struktur kediaman, bercucuk tanam atau memelihara haiwan ternakan.

Timbalan Pengarah (Operasi Hutan) jabatan itu, Norddin Noor berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap sebarang pencerobohan di kawasan hutan simpan bagi melindungi khazanah hutan negeri.

Menurutnya, Selangor memperuntukkan hukuman tidak kurang RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan mengikut Seksyen 32 dan Seksyen 81 terhadap mana-mana individu yang menjalankan apa-apa aktiviti pencerobohan dalam hutan simpan.

"Jadi saya di sini mengambil peluang untuk memberitahu kepada semua peneroka supaya berhenti menjalankan apa jua aktiviti pencerobohan kerana tanah yang berstatus hutan simpan sama sekali tidak akan diberikan hak milik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam Operasi Penguatkuasaan Hutan Secara Bersepadu Bersama Agensi Penguatkuasaan Berkaitan di Hutan Simpan Bukit Lagong (Ops Lagong) di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, peringatan itu dikeluarkan berikutan tindakan diambil Jabatan Perhutanan Selangor terhadap aktiviti pencerobohan hutan yang dikesan berlaku di dalam kawasan Hutan Simpan Bukit Lagong sejak kebelakangan ini.

Norddin (kanan) menunjukkan kawasan Hutan Simpan Bukit Lagong yang diceroboh pada Selasa.
Norddin (kanan) menunjukkan kawasan Hutan Simpan Bukit Lagong yang diceroboh pada Selasa.

Dalam operasi bersepadu selama dua hari pada Selasa dan Rabu itu katanya, sebanyak 23 struktur bangunan yang didirikan di hutan simpan berkenaan dirobohkan, namun tiada penghuni atau peneroka haram ditemui.

Artikel Berkaitan:

Selain struktur bangunan, Norddin berkata, peneroka haram dipercayai terdiri daripada warga tempatan turut menanam tanaman kontan dan membuat kolam ikan dengan anggaran kawasan hutan simpan yang diceroboh seluas 14 hektar.

"Sebanyak 23 struktur (bangunan) yang ada di sini dan untuk hari ini sebanyak 13 struktur serta empat kolam ikan dimusnahkan manakala selebihnya sebanyak 10 struktur lagi akan dimusnahkan pada Rabu.

"23 struktur binaan adalah rumah kayu dan rumah batu, pondok kayu, kolam ikan dan kandang lembu serta kandang kambing dalam keluasan tanah hutan simpan yang diceroboh iaitu seluas kira-kira 14 hektar," katanya.

Selain Jabatan Perhutanan, operasi berkenaan turut disertai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, Majlis Perbandaran Selayang dan Tenaga Nasional berhad (TNB).