Sindiket penipuan 'Fly By Night' tumpas

Mohd Kamarudin (dua, kanan) melihat barangan rampasan ketika sidang media mengenai tangkapan sindiket penipuan pembelian barangan tukar ganti kenderaan 'Fly By Night' di Balai Polis Jinjang pada Selasa. - Foto Bernama
Mohd Kamarudin (dua, kanan) melihat barangan rampasan ketika sidang media mengenai tangkapan sindiket penipuan pembelian barangan tukar ganti kenderaan 'Fly By Night' di Balai Polis Jinjang pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR ‐ Polis berjaya menyelesaikan sembilan kes membabitkan sindiket penipuan pembelian barangan tukar ganti kenderaan dikenali dengan nama ‘Fly By Night’ dengan tertangkapnya lima lelaki dalam satu serbuan di sebuah kediaman di Kuantan, Pahang pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, beliau menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada 21 September berhubung kegiatan penipuan itu.

Mohd Kamarudin
Mohd Kamarudin

"Sindiket menggunakan nama syarikat Ban Heng Auto untuk mengaburi mangsa. Mangsa diperdaya dengan menyatakan bahawa pembayaran telah dibuat dengan menghantar slip jadual pembayaran Inter Bank Giro (IBG) palsu.

"Selepas mangsa mengantarkan barangan tersebut ke alamat yang diberikan pihak sindiket membatalkan pembayaran IBG tersebut," katanya dalam sidang media di Balai Polis Jinjang pada Selasa.

Mohd Kamarudin berkata, lima lelaki berusia dalam lingkungan 23 hingga 60 tahun ditahan oleh pasukan JSJK Bukit Aman dalam serbuan sekitar jam 10.15 malam.

"Turut dirampas, sejumlah barangan alat ganti kenderaan dianggarkan bernilai RM936,783 di beberapa buah rumah yang dipercayai dijadikan tempat penyimpanan.

"Sindiket tersebut dipercayai bergiat aktif selama lima bulan sejak Mac hingga Ogos. Kumpulan ini menyasarkan kepada pembekal dan peniaga barangan alat ganti kenderaan di sekitar Lembah Klang dan Johor," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kesemus suspek direman sehingga Rabu dan tempoh reman dijangka akan disambung bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1059 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFPUAA) 2001," ujarnya.