Belian berterusan dorong Bursa Malaysia ditutup paras tinggi seharian

No Image Caption
A
A
A

KEGIATAN membeli secara berterusan membabitkan kaunter produk dan perkhidmatan perindustrian serta penjagaan kesihatan terpilih melonjakkan indeks utama Bursa Malaysia untuk ditutup pada paras tinggi seharian pada Selasa.

Seorang peniaga berkata, semakin ramai pelabur mula yakin dengan tinjauan ekonomi domestik yang menggalakkan.

Pada jam 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat dengan ketara sebanyak 13.77 mata atau 0.90 peratus kepada 1,546.82 daripada penutupan urus niaga Isnin pada 1,533.05.

Indeks utama yang dibuka 0.46 mata lebih tinggi pada 1,533.51, bergerak pada paras serendah 1,526.28 pada urus niaga pada Selasa.

Bagaimanapun, pergerakan harga di pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung 594 berbalas 463 manakala 409 kaunter tidak berubah, 837 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan mengukuh kepada 5.45 bilion unit bernilai RM3.29 bilion daripada 4.38 bilion unit bernilai RM2.98 bilion pada hari sebelumnya.

Seorang peniaga berkata, Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) 2021-2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen semalam nampaknya telah memberi sedikit rangsangan kepada sentimen pelabur di pasaran tempatan.

"Oleh kerana RMK12 bertujuan untuk menghidupkan kembali ekonomi negara yang dilanda pandemik, perbelanjaan pembangunan yang besar diperuntukkan dan kami berpendapat ini amat positif bagi sektor pembinaan kerana sektor ini memberikan kesan pengganda tertinggi pada ekonomi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, peniaga ActivTrades Anderson Alves menyatakan ekuiti Asia meningkat pada hari Selasa selepas mempamerkan prestasi bercampur di Wall Street, menyaksikan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) mengukuh tatkala Rizab Persekutuan AS (US Fed) secara retorik memperkuatkan pandangan bahawa masa untuk proses pengurangan bon semakin hampir.

"Pasaran akan menantikan komen selanjutnya daripada pengerusi Persekutuan AS Jerome Powell dan penggubal dasar.

“Isu Evergrande terus menguasai sentimen dengan Bank of China menyatakan ia akan memastikan pasaran hartanah yang sihat dan melindungi hak pembeli rumah," katanya dalam satu nota penyelidikan di sini.

Di pasaran domestik pula, Petronas Chemicals dan Hartalega muncul sebagai penyumbang utama kepada indeks penanda aras dengan sejumlah 8.76 mata, masing-masing meningkat 39 sen dan 53 sen.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM8.10, Public Bank naik 3.0 sen kepada RM4.11, IHH Healthcare menokok 2.0 sen kepada RM6.70, TNB meningkat 5.0 sen kepada RM9.90 sementara CIMB mengembang 4.0 sen kepada RM4. 74.

Bagi saham aktif, Fintec dan Pegasus Heights masing-masing turun setengah sen kepada 1.5 sen dan 1.0 sen, sementara KNM naik setengah sen kepada 25 sen dan Kanger International tidak berubah pada 5.0 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas lebih tinggi sebanyak 56.64 mata kepada 11,331.83, Indeks FBMT 100 meningkat 59.55 mata pada 11,028.99 manakala indeks FBM Emas Syariah naik 88.64 mata kepada 12,375.28.

FBM 70 susut 70.72 mata kepada 14,892.18, sementara FBM ACE turun 59.58 mata kepada 7,186.08.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 2.83 mata kepada 204.09, Indeks Perladangan naik 11.91 mata kepada 6,335.56 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 0.46 mata kepada 15,231.03.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 3.44 bilion saham bernilai RM2.86 bilion daripada 2.74 bilion saham bernilai RM2.46 bilion pada hari Isnin.

Jumlah dagangan waran mengembang kepada kepada 356.79 juta unit bernilai RM56.92 juta berbanding 339.78 juta unit bernilai RM54.45 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE menambah kepada 1.65 bilion unit bernilai RM373.08 juta daripada 1.30 bilion unit bernilai RM461.82 juta pada hari Isnin.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menguasai 498.49 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (999.70 juta), pembinaan (87.39 juta), teknologi (409.22 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (51.71 juta), hartanah (556.61 juta), perladangan (16.99 juta), REIT (6.72 juta), dana tertutup (112,500), tenaga (616.67 juta), penjagaan kesihatan (90.54 juta), telekomunikasi dan media (32.74 juta), pengangkutan dan logistik (50.10 juta ) dan utiliti (23.14 juta). - Bernama