X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Dadah bernilai lebih RM200,000 ditanam bawah rumah

Abdul Majid (kanan) menunjukkan bekalan dadah jenis syabu bernilai lebih RM200, 000 yang dirampas dalam serbuan pada Ahad lalu
A
A

MELAKA - Seorang mekanik warga emas antara enam yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah dalam serbuan di Kampung Hilir, Kuala Sungai Baru pada Ahad lalu.

Dalam serbuan jam 1.40 pagi, suspek yang merupakan dalang utama sindiket itu dipercayai menyorok bekalan dadah jenis syabu seberat 7.5 kilogram (kg) bernilai RM223,100 dalam sebuah tong yang ditanam di bawah rumah.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, kegiatan suspek yang aktif sejak sebulan lalu itu akhirnya terbongkar selepas polis menahan dua rakan karibnya sebelum menahan anak serta menantunya masing-masing berusia 21 dan 24 tahun dalam serbuan pada Sabtu lalu.

Menurutnya, susulan tangkapan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka telah membuat serbuan di rumah suspek dan menahan suspek bersama seorang anaknya yang berusia 27 tahun.

"Sindiket digelarkan Geng Misai itu berjaya ditumpaskan dengan penahanan awal dua lelaki yang merupakan rakan karib kepada warga emas terbabit pada 25 September lalu.

"Hasil soal siasat terhadap mereka berjaya menahan suspek bersama anaknya di rumah itu pada keesokannya dan menemui bekalan dadah yang ditanam di bawah rumah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, di Banda Hilir pada Selasa.

Beliau berkata, warga emas itu akan mengali semula dadah yang ditanam dan mengeluarkannya mengikut permintaan sebelum diedarkan oleh ahli keluarganya di sekitar kawasan Kuala Sungai Baru.

Menurutnya, saringan ujian air kencing juga mendapati empat suspek yang ditahan positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.

"Kita turut merampas sebuah motosikal dan wang tunai dengan jumlah sitaan keseluruhan bernilai RM15,000.

"Kesemua mereka direman selama tujuh hari bermula Ahad lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 Akta Dadah Berbahaya 1952, " katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!