MBPJ kenal pasti 33 lokasi 'hotspot' banjir kilat

MBPJ telah mengenal pasti 33 lokasi 'hotspot' yang sering berlaku kejadian banjir kilat di Petaling Jaya. - Foto 123RF
MBPJ telah mengenal pasti 33 lokasi 'hotspot' yang sering berlaku kejadian banjir kilat di Petaling Jaya. - Foto 123RF
A
A
A

PETALING JAYA - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah mengenal pasti 33 lokasi 'hotspot' yang sering berlaku kejadian banjir kilat di sini.

Timbalan Datuk Bandar MBPJ, Sharipah Marhaini Syed Ali berkata, daripada jumlah itu, 19 lokasi terlibat telah selesai menjalani kerja-kerja naik taraf longkang manakala baki selebihnya masih dalam proses penambahbaikan.

Beliau berkata, bagi isu air bertakung, sebanyak 49 lokasi telah selesai ditambah baik dan sembilan lagi berada dalam proses tindakan penyelesaian oleh MBPJ.

"Antara punca berlakunya kejadian banjir kilat ini adalah taburan hujan yang tinggi selain daun kering serta ranting kayu yang mengganggu sistem saliran.

"Langkah-langkah penyelesaian terhadap isu banjir ini adalah meliputi pemeriksaan ke atas 'scupper' dan longkang, memastikan kebersihan daun kering, mengawasi tapak pembinaan dan beberapa lagi langkah lain," katanya sewaktu menyampaikan perutusan sewaktu Mesyuarat Penuh MBPJ yang berlangsung pada Selasa.

Dalam perkembangan lain, Sharipah Marhaini berkata, MBPJ juga telah mengendalikan urusan pengebumian jenazah Covid-19 sepenuhnya bermula sejak 16 Ogos lalu.

Beliau berkata, terdapat empat tanah perkuburan Islam dan krematorium yang diuruskan oleh MBPJ buat masa ini bagi membantu memudahkan pengurusan jenazah Covid-19.

"Lokasi terlibat adalah Tanah Perkuburan Islam Kota Damansara, Tanah Perkuburan Islam PJS 4, Tanah Perkuburan Hindu SS2, Damansara Jaya dan Krematorium MBPJ, Kampung Baiduri," katanya.

Artikel Berkaitan: