X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 23 Oktober 2021

Dua beradik sempat selamatkan diri keluar daripada api marak

Keadaan rumah dihuni enam sekeluarga di Kampung Tengah, Pasir Panjang di sini dalam kejadian kebakaran pada awal pagi Selasa.
A
A

SEKINCHAN - Dua beradik perempuan seibu sempat keluar menyelamatkan diri daripada api marak selepas rumah sewa dihuni keluarga mereka di Kampung Tengah, Pasir Panjang di sini terbakar dalam kejadian pada awal pagi Selasa.

Dalam kejadian pada jam 3 pagi itu, Norhidayah Rosman, 17 dan Norain Jamalina Jumri, 12, terpaksa menendang tingkap nako untuk keluar dari rumah yang sedang marak untuk menyelamatkan diri.

Abang mereka, Mohd Raziq Azrai Rosman, 19 berkata, kedua-dua adiknya terperangkap kira-kira 10 minit sebelum berjaya keluar dari rumah berkenaan.

"Pada waktu itu api memang menjulang tinggi dan saya bersama ayah, ibu serta seorang adik bongsu sempat keluar melalui pintu depan rumah.

"Bagaimanapun, dua lagi adik perempuan (Norhidayah dan Norain) berada di bilik berasingan dan kami terpaksa menjerit meminta mereka keluar melalui tingkap bilik," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumah nenek mereka di Kampung Tali Air 10 di sini pada Selasa.

Mohd Raziq berkata, semasa cuba keluar dari rumah itu, dia terpaksa merangkak untuk mencari pintu depan berikutan keadaan gelap di dalam rumah berkenaan.

"Saya terpaksa meraba-raba ke bawah untuk mencari pintu keluar dan masa itu asap terlalu banyak hingga sukar bernafas, malah ketika itu badan saya seolah hendak pengsan.

"Kami berempat akhirnya berjaya keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri sambil berharap dua adik yang masih di dalam bilik selamat," katanya.

Menurutnya, sejurus mereka berada di depan rumah, bapanya, Jumri Manap, 41, tidak berhenti-henti melaungkan kalimah ALLAH.

"Bapa tidak henti-henti mengungkap perkataan Allahuakbar berulang kali, pada waktu itu saya nampak dua adik perempuan seolah bertarung nyawa untuk keluar dari tingkap bilik.

"Keadaan waktu itu amat menakutkan dan kami hanya berserah kepada ALLAH agar semua nyawa dapat diselamatkan," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Raziq mengakui dia amat bersyukur apabila dua adiknya itu berjaya keluar setelah Norhidayah menendang beberapa kali tingkap bilik.

"Saya nampak tingkap bilik semakin mereput akibat terbakar manakala Norhidayah dan Norain akhirnya berjaya keluar daripada kebakaran.

"Kedua-dua mereka dalam keadaan lemah akibat terhidu asap tebal dan beberapa bahagian badan melecur terkena api," katanya.

Jelasnya, kejadian itu mengundang rasa trauma mereka sekeluarga apatah lagi ia berlaku dalam sekelip mata.

"Inilah detik ngeri yang saya pernah alami sepanjang hidup, namun bersyukur semua ahli keluarga saya selamat dalam kejadian ini," katanya.

Mohd Raziq memberitahu, Norain pada ketika ini masih dirawat di Hospital Sungai Buloh manakala ibu dan bapanya menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah,Klang.

"Pada mulanya kami enam sekeluarga dikejarkan ke Hospital Tanjong Karang, namun saya bersama dengan Norhidayah dan adik bongsu sudah dibenarkan pulang ke rumah.

"Ketika ini, kami hanya mampu berdoa agar ibu dan ayah serta Norain dapat pulang dalam keadaan selamat," katanya.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, enam sekeluarga dikejarkan ke hospital akibat melecur di beberapa bahagian badan dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Jalan Makmur, Pasir Panjang di sini pada awal pagi Selasa.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!