X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 29 November 2021

Tadbir urus MARDICorp kurang memuaskan

A
A

KUALA LUMPUR - Tadbir urus korporat MARDI Corporation Sdn Bhd (MARDICorp) yang kurang memuaskan menyumbang kepada ketidakcapaian 'output' dan keberhasilan Projek Reverse Linkage Surinam.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 2 mendapati, sebanyak tujuh daripada sembilan aspek tadbir urus korporat yang diaudit tidak diamalkan sepenuhnya dan kelemahan pemantauan Lembaga Pengarah telah menjejaskan kelancaran pengurusan serta pengendalian aktiviti utama syarikat.

“Antara kelemahan yang dikenal pasti adalah ‘output’ projek tidak tercapai, keberhasilan tidak dinilai dan pentadbiran kontrak yang tidak teratur; terma dan syarat pelantikan setiausaha syarikat tidak dapat disahkan kerana surat pelantikan tidak dikemukakan kepada pihak audit.

“Prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti utama dan aktiviti lain yang dijalankan oleh MARDICorp tidak disediakan,” dedah laporan itu.

Berdasarkan skop pengauditan, objektif penubuhan MARDICorp masih belum tercapai sepenuhnya.

Menurut laporan itu, walaupun kedudukan kewangan MARDICorp stabil, namun tuntutan Projek Reverse Linkage Surinam berjumlah AS$1.31 juta yang belum diterima telah menyebabkan MARDICorp mencatatkan kerugian terkumpul berjumlah RM14.45 juta pada tahun 2019.

Justeru, Lembaga Pengarah MARDICorp dan pengurusan MARDICorp diminta mengambil perhatian beberapa perkara bagi memantapkan keupayaan tadbir urus korporat dan meningkatkan pengurusan aktiviti utama syarikat iaitu pengkomersialan teknologi MARDI supaya selaras dengan objektif penubuhannya.

Antaranya, memastikan tadbir urus korporat dipertingkatkan, memastikan baki bayaran perkhidmatan perundingan Projek Reverse Linkage Surinam dituntut sewajarnya, dan mengkaji semula objektif syarikat bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) supaya hala tuju syarikat jelas dan tiada pertindihan fungsi.

MARDICorp yang merupakan syarikat subsidiari milik penuh MARDI ditubuhkan pada 25 Mei 1992 untuk mengendalikan pelaburan komersialisasi MARDI.

Pengurusan aktiviti Projek Reverse Linkage Surinam dipilih untuk pengauditan terperinci kerana merupakan aktiviti pengkomersialan teknologi MARDI selaras dengan objektif penubuhan syarikat. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!