Malaysia ketinggalan pengeluaran kenderaan elektrik

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia masih ketinggalan dalam penggunaan dan pengeluaran kenderaan elektrik (EV) walaupun muncul sebagai antara negara terawal menceburi industri berkenaan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkara itu menyebabkan beliau masih kurang berpuas hati.

"Sejak beberapa tahun lalu, pelaburan bagi industri EV semakin mengalir ke negara-negara jiran.

"Keadaan ini tidak boleh berterusan kerana kebanyakan negara dalam dunia telah mensasarkan tempoh peralihan kenderaan sedia ada kepada EV," katanya pada perbahasan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Ahli Parlimen Pekan itu menegaskan, Malaysia berjaya mewujudkan kilang besi keluli terbesar di ASEAN di Kawasan Industri Malaysia-China (MCKIP) Kuantan, Pahang walaupun Malaysia bukan pengeluar bijih besi utama.

Katanya, Malaysia turut berjaya mewujudkan kilang aluminium terbesar di ASEAN di Sarawak walaupun Malaysia bukan pengeluar utama bijih bauksit.

"Malaysia juga adalah antara hub global industri elektronik dan kita juga berkebolehan menghasilkan tayar, maka oleh sebab itu tiada alasan bagi Malaysia ketinggalan dalam sektor EV.

"Malaysia sebenarnya adalah pengimport besar bagi petrol dan diesel, kita juga adalah antara pengeluar terbesar gas asli," katanya.

Artikel Berkaitan:

Najib menambah, ia bermakna negara akan untung sebab gas asli boleh digunakan untuk menjana elektrik dan kos mengimport petrol serta diesel dapat dijimatkan sekiranya Malaysia lebih awal beralih ke EV seterusnya dapat membantu mengatasi pencemaran udara.

Berikutan itu, beliau menyarankan negara menggandakan usaha supaya pengeluaran dan penggunaan EV dalam negara dapat menyamai serta melepasi pencapaian negara-negara lain.