Penyenggaraan kuarters di Putrajaya tidak cekap, kurang memuaskan

Gambar hiasan - Foto fail Bernama
Gambar hiasan - Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 2 mendapati penyenggaraan kuaters di Putrajaya di bawah seliaan Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) dilaksanakan dengan kurang cekap dan tidak memuaskan.

Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, pengauditan itu melibatkan penilaian terhadap pengurusan, pembaikan dan naik taraf kuaters berpenghuni serta kosong bagi tempoh tahun 2017 hingga 2020 dengan peruntukan berjumlah RM401.24 juta.

"Hal ini disebabkan terdapat kelemahan dalam pengurusan aduan kerosakan serta proses pembaikan dan naik taraf unit kuaters kosong yang tidak teratur.

"Perkara ini menyebabkan kelewatan serahan semula kepada Unit Kuaters untuk penawaran kepada penghuni baharu," katanya menerusi laporan LKAN 2019 Siri 2 yang dikeluarkan pada Selasa.

Selain itu, beliau berkata, terdapat juga kelemahan dalam pelantikan kontraktor untuk pembaikan rumah kosong, penguatkuasaan mengenai kenaan APD atau penalti kewangan, penentuan skop penyenggaraan preventif yang tidak menyeluruh dan pemantauan yang kurang berkesan.

"Keadaan ini menyebabkan objektif aktiviti ini belum dapat tercapai secara keseluruhannya," katanya.

Mengulas lanjut, Nik Azman berkata, tiga langkah turut disyorkan bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan penyenggaraan kuaters berkenaan.

Langkah disyorkan itu adalah BPH perlu menumpukan kepada pemantauan dan prestasi agensi yang mana semua kerja penyenggaraan perlu diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Putrajaya dan Perbadanan Putrajaya (PPj).

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, JKR dan PPj hendaklah menguruskan aduan menggunakan sistem yang boleh merekod aduan secara komprehsif termasuk pengkelasan major atau minor dalam sesuatu aduan serta rekod 'response time' dan 'repair time' oleh kontraktor.

"Syor terakhir adalah JKR dan PPj hendaklah memastikan semua jenis penyenggaraan preventif diambil kira dalam kontrak dan dinyatakan dalam jadual penyenggaraan. Ketidakpatuhan terhadap klausa kontrak oleh kontraktor perlu diambil tindakan," katanya.