Kes baharu Covid-19 di Thailand di bawah 10,000

Jumlah kes baharu Covid-19 di Thailand di bawah 10,000 buat kali pertama selepas dua bulan kerajaan bersiap sedia untuk mengurangkan tempoh kuarantin kepada pelancong dan pengembara antarabangsa yang lengkap vaksin Covid-19, bermula Jumaat ini.
Jumlah kes baharu Covid-19 di Thailand di bawah 10,000 buat kali pertama selepas dua bulan kerajaan bersiap sedia untuk mengurangkan tempoh kuarantin kepada pelancong dan pengembara antarabangsa yang lengkap vaksin Covid-19, bermula Jumaat ini.
A
A
A

BANGKOK - Jumlah kes baharu Covid-19 di Thailand di bawah 10,000 buat kali pertama selepas dua bulan kerajaan bersiap sedia untuk mengurangkan tempoh kuarantin kepada pelancong dan pengembara antarabangsa yang lengkap vaksin Covid-19, bermula Jumaat ini.

Dalam tempoh 24 jam, Thailand mencatat 9,489 kes baharu dan 129 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan 1,552,552 kes dan korban seramai 16,498.

Mulai 1 Oktober, Thailand akan mengurangkan tempoh kuarantin 14 hari kepada tujuh hari untuk pelawat lengkap divaksin, manakala pelancong belum divaksin yang tiba melalui pengangkutan udara dikenakan 10 hari kuarantin dan mereka menggunakan laluan darat perlu menjalani 14 hari kuarantin.

Thailand yang bergantung kepada pelancongan antarabangsa akan membuka semula industri itu menerusi empat fasa mulai bulan depan. Ia bertujuan menghidupkan kembali industri pelancongannya yang terjejas akibat Covid-19, selepas kejayaan "Phuket Sandbox" dan "Samui Plus" yang dilancarkan pada Julai,

Dalam satu kenyataan, Lembaga Pelancongan Thailand (TAT) memaklumkan Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) telah meluluskan pelan pembukaan semula negara itu.

Fasa perintis, dari 1 hingga 31 Oktober meliputi pulau peranginan Phuket, Samui Surat Thani, Koh Pha-ngan, Koh Phi Phi, Koh Tao serta Krabi dan Koh Phang-Nga serta destinasi baharu di Krabi - Khlong Muang dan Thap Khaek.

Fasa kedua bermula 1 hingga 30 November yang merangkumi Bangkok dan sembilan wilayah termasuk Chiang Mai, Chon Buri, Ranong dan Buriram.

Untuk fasa ketiga, dari 1 hingga 31 Disember melibatkan pembukaan semula 20 wilayah lain termasuk Ayutthaya, Chiang Rai, Nakhon Ratchasima dan destinasi sempadan iaitu Songkhla, Nakhon Si Thammarat, Narathiwat, Yala dan Phatthalung.

Artikel Berkaitan:

Sementara fasa keempat akan dimulakan pada 1 Januari yang bakal menyaksikan pembukaan semula 13 wilayah sempadan lain termasuk Kanchanaburi, Nakhon Phanom, Nan, Ratchaburi, Sa Kaeo, Satun, Surin, Tak, Ubon Ratchathani, dan Udon Thani.

Selain itu, Thailand merancang untuk mendapatkan 120 juta dos vaksin Covid-19 tahun depan untuk suntikan penggalak dan kanak-kanak berusia tiga hingga 11 tahun.

Jurucakap CCSA Dr Taweesin Visanuyothin berkata, vaksin yang akan diterima termasuk 60 juta dos AstraZeneca dan 30 hingga 50 juta Pfizer. - Bernama