Bina Institut Penyakit Berjangkit Malaysia beri kelebihan kepada NS

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan menyambut baik hasrat kerajaan Persekutuan untuk membina Institut Penyakit Berjangkit Malaysia di Bandar Enstek, di sini tahun hadapan sempena pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Isnin.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pembinaan institut berkenaan juga selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk membangunkan Bandar Enstek sebagai Lembah Ilmu.

"Pembinaan institut itu memberi kelebihan buat Negeri Sembilan dengan memberi pelbagai impak positif baik dari ekonomi, sosial dan pusat itu sendiri.

"Pembinaan institut ini menggambarkan usaha kerajaan negeri dalam menjadikan kawasan berkenaan sebagai Lembah Ilmu. Kita amat alu-alukan lebih banyak institut di bina di sini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai lawatan ziarah mangsa serangan kera di Taman Dusun Nyior di sini pada Selasa.

Hadir sama, Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan dan Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan akan membina Institut Penyakit Berjangkit Malaysia di Bandar Enstek, Negeri Sembilan tahun depan.

"Penubuhan institut itu bertujuan mencegah penyakit, ketidakupayaan dan kematian yang disebabkan oleh penyakit-penyakit berjangkit," katanya.

Artikel Berkaitan: