Mampu disaran laksana semua kaedah pemantauan MyGov*Net dalam talian

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) di bawah Jabatan Perdana Menteri disaran melaksanakan semua kaedah pemantauan bagi perkhidmatan Rangkaian Telekomunikasi Bersepadu Kerajaan (MyGov*Net) secara dalam talian di bawah kawalannya.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 2 - Aktiviti Kementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-badan Berkanun Persekutuan yang dikeluarkan pada Selasa, kaedah itu bertujuan memastikan pengurusan kewangan, termasuk pemantauan penggunaan rangkaian adalah efektif, pembayaran selaras dengan penggunaan, serta mengenakan denda lewat (LAD) bagi perkhidmatan yang lewat disediakan boleh dilakukan secara dalam talian dan lebih berkesan.

Perkhidmatan MyGov*Net adalah memuaskan daripada aspek capaian kepada aplikasi kerajaan dan dalaman agensi, namun daripada aspek pelaksanaan, pemantauan, pengurusan kontrak, kawalan di peringkat Mampu dan agensi adalah tidak memuaskan, jelasnya.

“Keadaan ini mengakibatkan penggunaan dua jenis teknologi rangkaian pada lokasi yang sama dengan pertindihan pembayaran berjumlah RM2.46 juta. Rangkaian MyGov*Net tidak digunakan melebihi tiga bulan berturut-turut berjumlah RM1.78 juta dan tahap penggunaan talian yang rendah berjumlah RM0.65 juta namun dibayar kepada kontraktor.

“Terdapat beberapa kelemahan pengurusan kewangan yang melibatkan caj perkhidmatan sebanyak dua kali, rebat tidak diambil kira dan kesilapan pelarasan,” tambah laporan itu.

Audit juga mendapati wujudnya kelemahan dalam aspek pengurusan kontrak melibatkan kelemahan aspek pemantauan penyenggaraan pencegahan serta had minimum saiz lebar jalur bagi teknologi ‘Very Small Aperture Terminal’ (VSAT) dan mudah alih yang akan diterima oleh agensi, jelasnya.

Selain itu, dalam maklum balas yang diterima pada 15 September 2020 dan 9 Januari 2021, Mampu telah melaksanakan inisiatif yang selaras dengan hala tuju kerajaan ke arah ‘Data-as-a-Utility’ untuk menaik taraf kelajuan talian dengan jalur lebar minimum berkapasiti 10Mbps di bawah Kontrak Tambahan Keempat Perkhidmatan MyGov*Net bagi meningkatkan pengalaman pengguna ke atas perkhidmatan yang disediakan kepada pihak agensi, tambah LKAN.

Hasil kajian Kepuasan Pelanggan yang telah dilaksanakan setiap tahun turut menunjukkan peningkatan di dalam skor kepuasan pelanggan terhadap perkhidmatan MyGov*Net yang mana skor yang diperolehi adalah melebihi standard piawaian global.

Artikel Berkaitan:

“Analisis audit mendapati 101 responden (81.5 peratus) daripada 124 responden berpuas hati dengan prestasi rangkaian MyGov*Net yang disediakan. Sementara 23 responden (18.5 peratus) tidak berpuas hati dengan prestasi rangkaian kerana saiz lebar jalur yang diterima terlalu rendah dan perlu menaik taraf mengikut kapasiti penggunaan dan bilangan pengguna,” menurut laporan itu.

Justeru, LKAN mengesyorkan Mampu perlu memastikan pengurusan kontrak memihak kepada kerajaan dengan menyatakan klausa berkenaan sasaran bilangan lokasi bagi pemasangan rangkaian, kekerapan pelaksanaan penyenggaraan pencegahan dan had minimum saiz lebar jalur bagi semua teknologi yang diterima oleh agensi.

“Mampu juga perlu melaksanakan penilaian wajar kepada pihak ketiga sebelum diterima atau ‘sign off’ bagi setiap aktiviti yang berimpak tinggi atau yang melibatkan keselamatan rangkaian,” menurut laporan itu. - Bernama