Senggara berterusan tanpa tetapkan tempoh guna alat perubatan

Pelaksanaan program penyenggaraan berterusan tanpa menetapkan tempoh penggunaan peralatan perubatan hospital yang optimum oleh KKM boleh merugikan kerajaan. - Foto 123RF
Pelaksanaan program penyenggaraan berterusan tanpa menetapkan tempoh penggunaan peralatan perubatan hospital yang optimum oleh KKM boleh merugikan kerajaan. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan program penyenggaraan berterusan tanpa menetapkan tempoh penggunaan peralatan perubatan hospital yang optimum oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh merugikan kerajaan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri 2, ini kerana kos penyenggaraan telah melebihi kos perolehan baharu sedangkan peralatan perubatan masih menggunakan teknologi lama dan prestasi peralatan perubatan semakin merosot.

Selain itu, maklumat dari Asset and Services Information System (ASIS) tidak digunakan secara optimum untuk membuat keputusan berhubung permohonan bajet, perancangan perolehan dan penetapan tempoh penyenggaraan.

“Pengauditan yang dilakukan bagi tahun 2016 hingga 31 Dis 2020 menemukan sebanyak 50,452 (19.6 peratus) peralatan perubatan melebihi usia 20 tahun dengan kos RM641.59 juta dan 29,654 (11.5 peratus) peralatan perubatan yang telah berstatus Beyond Economic Repair masih digunakan di hospital.

“Sebanyak 1,373 peralatan perubatan dengan kos perolehan berjumlah RM38.67 juta diberhentikan daripada program penyenggaraan Biomedical Engineering Maintenance Services walaupun belum mencapai usia jangkaan,” demikian menurut laporan yang dikeluarkan pada Selasa.

Laporan itu turut mendedahkan, lapan hospital tidak menggunakan sistem ASIS, lima daripadanya mempunyai sistem penyenggaraan yang lain, manakala baki tiga hospital tidak mempunyai sistem penyenggaraan.

Sehubungan itu, pihak Audit mengesyorkan KKM supaya menyediakan polisi menyeluruh dan komprehensif berkaitan pengurusan peralatan perubatan yang merangkumi polisi perolehan peralatan perubatan baharu, pelan penggantian, penyenggaraan dan pelupusan bagi memastikan pengurusannya dapat dilaksanakan dengan cekap serta memberi nilai tambah kepada kerajaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: