X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Negeri Sembilan lulus RM120,000, sedia perangkap kera, babi hutan

Aminuddin (kanan), Mohamad Rafie (kiri) ketika melawat keluarga kanak-kanak itu di Taman Dusun Nyior, Seremban pada Selasa.
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan meluluskan peruntukan sebanyak RM120,000 kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan untuk menyediakan perangkap kera dan babi hutan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perangkap itu nanti akan diberikan kepada tiga Pejabat Perhilitan Daerah bagi mengelakkan gangguan haiwan liar berkenaan.

Menurutnya, kejadian seorang kanak-kanak digigit kera tidak pernah berlaku di negeri ini dan bagi mengelakkan ia berulang satu peruntukan khas diberikan kepada Perhilitan untuk menyediakan perangkap di lokasi yang dikenal pasti.

"Dalam kes di Taman Dusun Nyior ini, kerajaan negeri dan wakil rakyat setempat telah menghulurkan sumbangan.

"Pihak Perhilitan juga akan mengetengahkan permohonan Tabung Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas dan jumlah bantuan itu bergantung kepada laporan perubatan mangsa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai lawatan ziarah mangsa serangan kera di Taman Dusun Nyior di sini pada Selasa.

Nur Syamimie bersama anaknya, Nor Afia Muhamad Nur Issyifa yang berusia 21 bulan.
Nur Syamimie bersama anaknya, Nor Afia Muhamad Nur Issyifa yang berusia 21 bulan.

Hadir sama, Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek dan Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun.

Sementara itu, ibu kepada kanak-kanak yang digigit kera, Nur Syamimie Mohamad, 29, berkata, mengalami trauma ketika menjejak kaki di rumahnya selepas pulang dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Isnin.

"Sebagai ibu, saya perlu kuat walaupun tidak sanggup melihat luka pada bahagian belakang badan anak.

"Ketika dirawat di HKL, anak saya juga menunjukkan tanda trauma. Dia seperti ketakutan selain mengadu sakit ketika tidur, namun kini keadaannya sudah kembali stabil," katanya.

Nur Syamimie berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu akan ke HKL pada 6 Oktober depan untuk membuka jahitan selain membuat pemeriksaan jika mengalami jangkitan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak dimasukkan ke Hospital Tuaku Jaafar (HTJ) Seremban selepas digigit kera di halaman rumahnya kira-kira jam 8 pagi pada 21 September lalu.

Perhilitan yang menerima aduan daripada seorang wanita kemudian bergegas ke lokasi dan menembak mati seekor kera jantan yang masih berlegar di atas pokok berhampiran rumah mangsa, sebelum bangkainya dibawa balik ke pejabat untuk tindakan lanjut.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!