X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Tadbir urus dana amanah mySalam tiada semak dan imbang yang jelas

Semakan audit mendapati tiada mekanisme yang jelas berkaitan tadbir urus, akauntabiliti dan pemantauan Lembaga Pemegang Amanah (LPA) dinyatakan di dalam Arahan Amanah mySalam. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Tadbir urus Dana Amanah Skim Perlindungan Masyarakat (mySalam) melalui akaun amanah persendirian tidak memperuntukkan kawalan dalaman yang mencukupi serta tidak mempunyai mekanisme semak dan imbang yang jelas.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 2 yang dikeluarkan pada Selasa, perkara itu menyebabkan kerajaan tidak dapat memberikan jaminan wujudnya akauntabiliti dan ketelusan pelaporan dalam pelaksanaan skim mySalam bagi mencapai objektif yang ditetapkan.

“Secara keseluruhannya, berdasarkan skop pengauditan dapat dirumuskan bahawa (mySalam) telah memberikan perlindungan takaful atau gantian pendapatan kepada golongan B40 terhadap penyakit kritikal tertentu dan akibat kemasukan ke wad hospital,” katanya.

Malah, semakan audit juga mendapati tiada mekanisme yang jelas berkaitan tadbir urus, akauntabiliti dan pemantauan Lembaga Pemegang Amanah (LPA) dinyatakan di dalam Arahan Amanah mySalam.

“Klausa dalam Arahan Amanah mySalam juga tidak menyatakan mengenai kuasa dan peranan Kementerian Kewangan (MoF) serta Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya.

Laporan itu mendedahkan tiada klausa berkaitan mekanisme semak dan imbang dinyatakan dalam Arahan Amanah mySalam.

Katanya, kelemahan itu boleh menyebabkan Dana Amanah mySalam terdedah kepada risiko tadbir urus yang kurang cekap serta boleh memberi kesan terhadap pencapaian objektif skim mySalam.

Bagi mengatasi kelemahan tersebut, laporan itu mengesyorkan MoF dan LPA mengambil langkah mengakaunkan dana mySalam yang berjumlah RM2.370 bilion ke dalam akaun Kumpulan Wang Disatukan dan menubuhkan Akaun Amanah Kerajaan (Seksyen 9, Akta 61) bagi mengendalikan dana tersebut.

Katanya, MoF bertindak untuk memperkemaskan klausa Akaun Amanah mySalam bagi memastikan wujud tadbir urus, akauntabiliti dan pemantauan yang jelas dalam pengurusan dana mySalam.

“Selain itu, mengadakan prosedur operasi standard dengan memperincikan bidang dan had kuasa LPA yang dinyatakan dalam Arahan Amanah akan memperkemaskan tadbir urus mySalam,” katanya.

Di samping itu, katanya, tahap kesedaran masyarakat terhadap skim mySalam masih rendah iaitu 59.6 peratus manakala tahap kesedaran penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) terhadap skim mySalam pada tahap 64.9 peratus.

Mengenai pengurusan takaful, katanya, selepas tamat tempoh dua tahun pelaksanaan mySalam, tender masih tidak dibuka kepada syarikat insurans lain untuk turut serta dalam pelaksanaan skim itu.

“Perkara ini menyebabkan syarikat insurans tempatan yang lain tidak berpeluang memperoleh manfaat ekonomi daripada pelaksanaan skim mySalam,” katanya.

Tambahnya, pengaturan takaful semula yang melibatkan kos tinggi adalah tidak munasabah kerana tidak dijalankan kajian menyeluruh dan trend tuntutan mySalam sehingga akhir tahun kedua masih rendah. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!