4 juta data bocor: Polis tidak tolak kemungkinan kerja orang dalam

Datuk Mohd Kamarudin
Datuk Mohd Kamarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan satu kertas siasatan dibuka berhubung kejadian kecurian empat juta data awam daripada pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dipercayai dijual di sebuah forum jual beli terkenal.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, laporan dibuat oleh Timbalan Pengarah JPN di Balai Presint 7 Putrajaya pada Isnin.

"Siasatan baru dijalankan jadi semua orang boleh jadi suspek dan kita tidak menolak kemungkinan terdapat penglibatan orang dalam.

"Siasatan akan mengambil sedikit masa dan kita akan memperhalusi semua aspek untuk mengesahkan apa yang berlaku," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Jinjang pada Selasa.

Kejadian tersebut didedahkan menerusi satu hantaran di sebuah forum perbincangan digital tempatan pada pagi Selasa.

Mengulas lanjut, Mohd Kamarudin berkata, siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk mengenal pasti punca sebenar kecurian tersebut.

Tambahnya, tahap keselamatan siber negara perlu dipertingkatkan kerana aktiviti pengodaman jenayah sentiasa mencari peluang untuk mencuri maklumat sensitif.

"Penggodam ini memang kerjanya mencuri data untuk dijual. Kita perlukan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) agar memperketat kawalan agar firewall (tembok api) kita tidak mudah ditembusi," katanya

Artikel Berkaitan: