Longgokan botol arak cemari pantai Seberang Takir

Mohd Nazrul (kiri) bersama Muhammad Khairul Niezam (tengah) dan Amirul Mukminin Mamat menunjukkan longgokan botol arak yang ditinggalkan di kawasan pantai di Kampung Baru Seberang Takir.
Mohd Nazrul (kiri) bersama Muhammad Khairul Niezam (tengah) dan Amirul Mukminin Mamat menunjukkan longgokan botol arak yang ditinggalkan di kawasan pantai di Kampung Baru Seberang Takir.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Longgokan botol arak yang ditinggalkan individu tidak bertanggungjawab di pantai Kampung Baru Seberang Takir, di sini mencemari persekitaran kawasan berkenaan.

Perbuatan itu dipercayai dilakukan oleh sekumpulan individu susulan penemuan 14 botol arak oleh beberapa pemancing yang datang ke pantai tersebut sekitar jam 7 pagi pada Selasa.

Seorang penduduk, Mohd Nazrul Mamat, 33, berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu tidak sepatutnya berlaku di lokasi tumpuan awam.

"Kita percaya aktiviti minum arak di tempat awam ini dilakukan secara berkumpulan malam tadi kerana belum pernah botol-botol arak ditinggalkan di sini.

"Justeru, kita berharap agar perbuatan tidak sihat ini dapat dibendung segera bagi mengelak pelbagai masalah lain timbul seperti memandu dalam keadaan mabuk, pergaduhan dan masalah sosial lain," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi berkenaan, pada Selasa.

Longgokan botol arak dipercayai ditinggalkan individu tidak bertanggungjawab mencemari kawasan pantai di Kampung Baru Seberang Takir.
Longgokan botol arak dipercayai ditinggalkan individu tidak bertanggungjawab mencemari kawasan pantai di Kampung Baru Seberang Takir.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Muhammad Khairul Niezam Zakari, 21, berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu memberi imej buruk terhadap pantai yang menjadi lokasi tumpuan ramai terutama pengunjung dari luar Terengganu.

"Kejadian begini tidak sepatutnya berlaku kerana lokasi ini menjadi tumpuan khususnya mereka yang datang dari luar bersama keluarga.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak mahu nama baik Terengganu sebagai destinasi pelancongan tercemar dengan insiden seumpamanya kerana kebelakangan ini semakin ramai yang datang ke pantai ini untuk mengambil angin pada setiap petang," ujarnya.

Pada Selasa, tular rakaman video berdurasi 51 saat di media sosial yang memaparkan penemuan sekotak botol arak yang ditinggalkan di pantai berkenaan.