X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 23 Oktober 2021

Audit: Pelaksanaan projek LRAL2 Fasa 1 belum capai objektif

Gambar hiasan. - Foto Langat 2
A
A

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan projek Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihan (LRAL2) Fasa 1 masih belum dapat mencapai objektif dan membekalkan 1,130 juta liter sehari (JLH) air terawat ke kawasan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 2, prestasi projek itu tidak memuaskan kerana kelewatan menyiapkan pakej kerja sistem agihan air menyebabkan penyaluran air terawat ke koridor utara serta koridor barat tidak dapat dibekalkan.

Pada masa sama, pengurusan projek itu kurang cekap kerana berlaku kelemahan ketara di peringkat perancangan projek melibatkan kelewatan memuktamadkan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Selangor.

Selain itu menurut laporan tersebut, pengambilan dan pemberimilikan tanah kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan belum selesai serta perbelanjaan yang dibuat untuk Fasa 1 iaitu RM2,853.7 juta, melebihi peruntukan yang diluluskan Jemaah Menteri (RM2,103 juta).

"Pengoperasian sepenuhnya pam air terawat, genset, alat pengubah dan sistem SCADA (Supervisory Control and Data Acquisition) mengikut spesifikasi juga tidak dapat dipastikan kerana komponen lengkap Projek LRAL2 belum diintegrasi," menurut laporan itu yang dikeluarkan pada Selasa.

Laporan itu mengesyorkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memantau penyiapan kerja pembinaan sistem agihan air mengikut tempoh masa ditetapkan sebagai tindakan penambahbaikan.

Selain itu, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan KASA perlu menyegerakan proses pengambilan tanah dan permohonan pemberimilikan tanah kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan serta semua kerja pengujian dan pentauliahan (T&C) yang tertangguh diambil tindakan segera.

Sementara itu, Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor (PPAMPS) antara penyelesaian bekalan air bersih di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya hingga 2025 yang siap pada 2015, belum mencapai penyaluran air mentah 1,890 JLH kerana kelewatan pembinaan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (LRA2).

Menurut LKAN, keadaan itu menyebabkan kapasiti penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor hanya mencapai pengepaman 623 JLH bagi enam bulan sehingga 2020.

“Secara keseluruhannya, pelaksanaan PPAMPS adalah memuaskan, namun koordinasi perlu dipertingkatkan di peringkat kementerian, kerajaan negeri Pahang, kerajaan negeri Selangor, jabatan dan agensi yang berkaitan,” katanya.

Selain itu, isu melibatkan pengurusan kewangan, pemilikan dan perizaban PPAMPS, kuantiti dan kualiti air mentah, penyelenggaraan PPAMPS dan pencerobohan kawasan empangan memerlukan perancangan serta tindakan rapi kerana masalah tersebut belum diselesaikan walaupun projek telah siap.

Justeru, LKAN mengesyorkan KASA mengambil tindakan penambahbaikan dalam pengurusan projek masa depan antaranya memastikan pemilikan dan perizaban tanah projek dimuktamadkan sebelum siap sepenuhnya bagi memastikan penyerahan hak milik aset infrastruktur projek kepada agensi penerima tidak terjejas. -Bernama

TAG: audit, LKAN, air, KASA, PAAB, LRAL2


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!