Pemerkasaan Akta OKU 2008

Kemudahan yang mesra OKU perlu ditambah baik agar golongan ini tidak terus terpinggir.
Kemudahan yang mesra OKU perlu ditambah baik agar golongan ini tidak terus terpinggir.
A
A
A

AKTA Orang Kurang Upaya (AOKU) 2008 merupakan sebuah dokumen perundangan yang memperuntukkan perkara berkaitan pendaftaran, perlindungan, rehabilitasi, pembangunan dan kesejahteraan orang kurang upaya (OKU), penubuhan Majlis Kebangsaan bagi Orang Kurang Upaya (MKOKU), dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

Namun begitu, jika diteliti, masih terdapat ruang-ruang yang perlu ditambah baik. Ini penting bagi memastikan golongan OKU mendapat hak yang sepatutnya dan memastikan hak golongan tersebut dilindungi.

Sememangnya jika diperhatikan di pusat-pusat beli-belah, kawasan-kawasan awam, malah di pejabat-pejabat kerajaan sekali pun, kemudahan yang disediakan bagi golongan OKU sering kali disalahgunakan.

Paling jelas dan mudah diperhatikan adalah tempat letak kereta dan tandas khas yang disediakan bagi golongan tersebut. Walaupun telah dinyatakan dengan jelas, namun penyalahgunaan ini kerap berlaku. Ini seolah-olah tiada apa yang dapat dilakukan kepada pihak-pihak yang sering menyalahgunakan kemudahan OKU. Malah, ketidakjelasan dalam AOKU 2008 juga membuatkan ramai pihak mengambil mudah perkara ini.

Walaupun panduan dalam pembinaan sesebuah bangunan disediakan, namun masih terdapat bangunan yang dibina tidak mesra OKU. Ada di antara bangunan yang dibina berkonsepkan “ala mesra OKU” tetapi hakikatnya tidak memenuhi spesifikasi yang diharapkan. Ini jelas memperlihatkan tiada kesungguhan pihak pemaju dalam memastikan bangunan yang dibina lebih universal dan boleh digunakan dengan baik oleh semua golongan termasuk OKU.

Begitu jugalah dengan bangunan-bangunan kerajaan yang kebanyakannya telah berdiri lama, iaitu sebelum gerakan kesedaran mengenai OKU lagi. Ini memerlukan pengubahsuaian agar lebih mesra OKU. Lebih menyedihkan apabila terdapat bangunan sekolah terutamanya di luar bandar, yang dianggap penting dalam memberikan pendidikan kepada anak bangsa juga mengekang pelajar-pelajar daripada golongan tersebut untuk dihantar ke sekolah.

Dasar kerajaan yang menitikberatkan pendidikan rakyat amatlah dipuji, malah janji tiada penolakan pelajar ke sekolah seolah-olah telah membuka ruang kepada golongan OKU untuk turut sama mendapatkan pendidikan sejak dari peringkat awal persekolahan lagi. Namun sejauh mana kesediaan pihak sekolah dalam menerima pelajar OKU masih lagi samar andainya kemudahan kepada pelajar OKU masih belum tersedia.

Jika diamati AOKU 2008 banyak menyentuh hak-hak yang sepatutnya diberikan kepada golongan tersebut serta pembentukan sebuah organisasi yang mengambil peranan hal berkaitan OKU, namun dokumen perundangan tersebut seolah sebuah penceritaan. Ini terbukti apabila tiada peruntukan-peruntukan yang memberi penguatkuasaan dilaksanakan ke atas akta tersebut yang menjadikan akta tersebut lemah seolah tidak mempunyai taring.

Artikel Berkaitan:

Malahan terdapat juga beberapa peruntukan dalam akta tersebut yang memerlukan penelitian semula kerana bersangkutan dengan peruntukan-peruntukan dalam akta yang berlainan. Ini boleh menimbulkan kekeliruan dalam pelaksanaan. Oleh yang demikian, AOKU 2008 seharusnya diselaraskan dengan mengambil kira perkara-perkara yang diperuntukkan dalam lain-lain akta dan peraturan berkaitan, selain memasukkan elemen penguatkuasaan ke dalam akta tersebut.

AOKU 2008 yang bersifat kosmetik ini hendaklah dibuat semakan semula dan diperkasakan bagi memastikan akta tersebut mampu memberi hak dan membela nasib golongan tersebut. Tiada keperluan untuk mewujudkan akta yang lain sekiranya AOKU 2008 dapat diperkasakan selaras dengan keperluan golongan OKU.

Namun, impian bagi melihat pemerkasaan AOKU 2008 hanya menjadi angan-angan kosong sekiranya tiada kerjasama daripada pelbagai pihak. Oleh itu, perhatian dan tindakan semua pihak dalam meraikan pemerkasaan AOKU 2008 amatlah diharapkan.