Najib syor projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi disambung semula

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan disyorkan untuk menyambung semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang bakal menghubungkan dua ekonomi terbesar ASEAN, Malaysia dan Singapura mengikut konsep dan perancangan asal.

Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, projek itu akan memberi nafas baru kepada koridor selatan semenanjung seperti Iskandar Malaysia, Batu Pahat, Muar, Melaka, Seremban dan sebagainya.

"Semasa pembinaan projek HSR, ia dijangka mewujudkan 70,000 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung.

"Selepas projek HSR siap beroperasi, ia mampu memberi keuntungan ekonomi sekitar AS$1.6 bilion (RM6.7 bilion) setahun mengikut kaji selidik Institut Pembangunan Ekonomi Jepun dengan syarat landasan perlu dihubungkan dengan Singapura," katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pada sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Pada Januari lalu, media melaporkan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura ditamatkan memandangkan kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan berhubung perubahan yang dicadangkan oleh Malaysia susulan perjanjian projek itu berakhir pada 31 Disember 2020.

Pada 13 Disember 2016, Malaysia dan Singapura memeterai perjanjian dua hala penting untuk membuka jalan bagi pelaksanaan projek HSR yang dijadualkan siap pada 2026 dan akan memendekkan masa perjalanan antara kedua-dua bandar kepada 90 minit.

Menurut Najib, tindakan menggantikan projek HSR dari Singapura ke Kuala Lumpur kepada KLIA ke Johor Bahru akan menjadikan projek ini tidak berdaya maju dan akhirnya merugikan negara apabila terpaksa membayar subsidi berbilion-berbilion.

"Mengembalikan semula projek HSR kepada perancangan asal juga dapat menghidupkan semula projek Bandar Malaysia yang bernilai RM140 bilion dari segi nilai pembangunan kasar (GDV)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru itu, Najib turut mencadangkan agar tanggungjawab dan pemilikan projek pembangunan diberikan kepada tabung-tabung seperti Kumpulan Wang Simapanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Katanya, kedua-dua badan itu terbukti dapat bekerjasama dengan baik sehingga menjayakan pembangunan projek Battersea di London.

"Projek ini juga boleh dijayakan secara usahasama dengan pelabur Singapura memandangkan HSR berhubung dengan negara itu jika KWSP dan PNB berpendapat ia memberi kelebihan.

"Sekiranya ini berlaku, saya cadang ia dijenamakan semula sebagai Bandar ASEAN supaya meletakkan Malaysia sebagai pusat kepada ASEAN dalam usaha menarik perhatian komuniti antarabangsa," katanya.