40 peratus pelajar Tingkatan 4, 5 di Pontian sudah divaksin

Dr Surinah (kanan) bertanya khabar Nor Aliyah selepas menerima suntikan vaksin di PPV Dewan Jubli Intan Pontian pada Selasa.
Dr Surinah (kanan) bertanya khabar Nor Aliyah selepas menerima suntikan vaksin di PPV Dewan Jubli Intan Pontian pada Selasa.
A
A
A

PONTIAN - Seramai 1,885 pelajar sekolah berusia 16 dan 17 tahun di daerah ini telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di tiga pusat pemberian vaksin (PPV) setakat Isnin.

Pegawai Kesihatan Daerah Pontian, Dr Surinah Asan berkata, angka itu mewakili 40 peratus daripada 4,637 pelajar berusia 16 dan 17 tahun yang layak menerima suntikan vaksin Covid-19 di daerah ini bermula 20 September lalu.

"Terdapat 16 buah sekolah menengah, dua kolej iaitu kolej vokasional dan sebuah kolej Tingkatan 6 di Pontian.

"Setakat ini, ibu bapa dan penjaga memberikan kerjasama sepenuhnya kepada petugas kesihatan selain mengikuti janji temu anak mereka yang dimaklumkan sekurang-kurangnya sehari sebelum suntikan," katanya ketika ditemui pada Selasa.

Beliau berkata, pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada pelajar sekolah di daerah ini dilakukan di tiga PPV iaitu PPV Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, PPV Dewan Tunku Ibrahim Ismail Pekan Nanas dan PPV Dewan Serbaguna Benut.

Sementara itu, penerima vaksin, Nor Aliyah Syafiah, 16, berkata, dia tidak langsung takut untuk mengambil vaksin sebaliknya tidak sabar untuk mendapatkannya memandangkan ahli keluarga sudah lengkap divaksin.

"Saya rasa gembira sebab sudah divaksin memandangkan ibu dan ayah serta adik-beradik yang lain sudah divaksin," katanya.

Bagi Zainur Adrina Zool Ihsan, 16, pula, suntikan Covid-19 yang diterima membuatkan dia berasa lebih selamat.

Artikel Berkaitan:

"Mula-mula memang takut, tapi selepas dicucuk tak rasa sakit pun. Saya gembira sebab sudah menerima suntikan vaksin," katanya.

Pada 15 Ogos lepas, Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, sekolah akan dibuka semula pada 3 Oktober ini secara berperingkat di bawah Pelan Pemulihan Negara bermula dengan pelajar yang menduduki peperiksaan iaitu pelajar Tingkatan 5 dan 6.